Tingkat tahap kewaspadaan di Asia Barat

PUTRAJAYA 17 April – Rakyat Malaysia termasuk jemaah haji yang melakukan perjalanan ke rantau Asia Barat dinasihatkan mendaftar keberadaan, selain mengemas kini maklumat perhubungan secara berkala menerusi portal e-Konsular.

Wisma Putra menerusi kenyataan berkata, Kementerian Luar mengemas kini nasihat perjalanan susulan pengumuman gencatan senjata selama dua minggu pada 8 April lalu yang membawa kepada perkembangan positif secara berperingkat di rantau berkenaan, termasuk pembukaan semula ruang udara dan operasi penerbangan secara terhad.

“Rakyat Malaysia dinasihati sentiasa meningkatkan tahap waspada, elak kawasan aktiviti ketenteraan dan perhimpunan awam serta mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan.

“Selain itu sentiasa mengambil maklum dan bersiap sedia untuk menghadapi sebarang gangguan penerbangan, kelewatan atau perubahan dalam urusan perjalanan,” kata kenyataan itu.

Katanya, rakyat Malaysia juga digalakkan memuat turun aplikasi MyWorldAlert bagi menerima maklumat terkini konsular setempat dan berhubung dengan Perwakilan Diplomatik Malaysia yang terdekat jika berlaku situasi kecemasan.

Kementerian ini akan terus memantau perkembangan di rantau terbabit dan akan mengemas kini nasihat perjalanan mengikut keperluan.

Keselamatan dan kesejahteraan warganegara Malaysia kekal menjadi keutamaan tertinggi pihak kementerian.

Related posts

Leave a Comment