Malaysia-Palestin tanda tangani 4 MoU

NEW YORK: Malaysia dan Palestin mengukuhkan lagi hubungan yang sedia terjalin dengan pemeteraian empat memorandum persefahaman (MoU) di sini, pada Jumaat.

Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob dan Presiden Palestin, Mahmoud Abbas, menyaksikan majlis menandatangani MoU mengenai Penubuhan Mesyuarat Jawatankuasa Bersama, Kerjasama dalam Bidang Kesihatan, Pelancongan dan Hal Ehwal Islam.

Sebelum itu, kedua-dua pemimpin yang berada di sini untuk menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) Ke-77, mengadakan pertemuan dua hala di hotel penginapan Abbas.

Dalam pertemuan selama 30 minit itu, Ismail Sabri mengulangi komitmen Malaysia mendukung perjuangan dan hak Palestin sebagai sebuah negara yang merdeka serta berdaulat dengan Baitulmaqdis sebagai ibu negara.

Perdana Menteri turut mengulangi pendirian Malaysia sejak sekian lama untuk tidak sama sekali menyokong Israel di mana-mana platform antarabangsa sehingga Palestin mendapat hak mereka sebagai negara berdaulat, proses perdamaian Israel dengan Palestin selesai, serta penamatan pendudukan Israel di wilayah Palestin

Bagi mengukuhkan lagi hubungan dua hala, Abbas menjemput Ismail Sabri untuk mengadakan lawatan rasmi ke Palestin bagi melihat sendiri penindasan dan kemusnahan dilakukan Israel terhadap wilayah itu serta rakyatnya.

Dalam pertemuan itu, Perdana Menteri mengalu-alukan rakyat Palestin untuk menyambung pelajaran di Malaysia dalam bidang-bidang penting bagi pembangunan semula Palestin.

Hingga kini, terdapat kira-kira 800 penuntut Palestin di universiti terkemuka di Malaysia yang mengikuti pengajian dalam pelbagai bidang, antara lain teknikal, kejuruteraan serta Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET)

Related posts

Leave a Comment