KJ boleh datang Alor Setar

ALOR SETAR 24 Sept. – UMNO Bahagian Alor Setar mengalu-alukan Khairy Jamaluddin, untuk bertanding di kerusi Parlimen itu, sekiranya Menteri Kesihatan itu tiada tempat untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Ketuanya, Mohd Yusof Ismail, berkata,  Ahli Parlimen Rembau itu adalah aset negara yang boleh memberi kelebihan untuk Barisan Nasional (BN) merampas semula kerusi Parlimen Alor Setar daripada Pakatan Harapan (PH).

“Saya ada dengar juga Khairy hendak bertanding di (Parlimen) Alor Setar dan saya mengalu-alukan, yang (paling) penting UMNO yang bertanding (berbanding kita letakkan calon daripada MCA), siapa (calon) itu saya (sentiasa) terbuka sebab saya orang berniaga, politik nombor dua, berniaga nombor satu.

“Kalau ada calon contohnya macam Khairy, (itu memang kelebihan untuk kita sebab) dia (adalah) aset negara, kalau dia bersetuju untuk datang bertanding di (Parlimen) Alor Setar, ‘kita memang alu-alukan, jadi kita pun boleh bernaung di bawah payung yang besar,” katanya selepas Program Ramah Mesra dan Jualan Harga Patut peringkat Parlimen Alor Setar di Shahab Perdana di sini, hari ini.

Ditanya sama ada beliau pernah mengadakan perbincangan bersama Khairy berhubung tawaran itu, Mohd Yusof mengakui sebelum ini pernah mempelawa kerana negara dan rakyat memerlukan pemimpin seperti Khairy pada masa depan .

“Ya, saya ada lah (berhubung dengan Khairy) kita berbincang sedikit sebanyak, saya kata, ‘bos’ jika fikir sesuai, saya setuju sahaja, saya pun memang menjemput dia, sebab dia pun dengan Kedah bukanlah lari banyak, mak dia pun orang sini, orang Alor Setar, jadi dia kalau tak ada tempat lain, (boleh bertanding di sini).

“Tetapi mungkin dia tak datang kot, jauh, mungkin dia selesa di Negeri Sembilan. Ramai juga bagi dia (tawaran) sebab dia aset negara dan kita perlukan dia di masa depan,” katanya.

Related posts

Leave a Comment