13 kes: 9 import, 4 tempatan

PUTRAJAYA: Jumlah kes positif Covid-19:di negara ini kembali kepada dua angka berbanding tujuh semalam apabila catatan kes harian menunjukkan 13 kes baharu dengan sembilan daripadanya kes import melibatkan lima warganegara Malaysia dan empat warga asing.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata empat kes lagi merupakan penularan tempatan melibatkan warganegara dengan dua daripadanya ialah Kluster PUI Sivagangga, satu merupakan Kluster Kurau dan bakinya adalah Kluster Meranti.

Bagi kes import, masing-masing melibatkan dua kes dari China, India serta Jepun dan masing-masing satu kes dari Ireland, Indonesia dan Yaman.

Kes penularan tempatan pula, terdapat tiga kes dikesan di Pulau Pinang manakala satu kes di Putrajaya.

Dr Noor Hisham berkata, sebanyak sembilan kes telah pulih menjadikan jumlah kumulatif kes yang pulih sepenuhnya adalah 8,784 kes (96.7 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

Terdapat satu kes positif sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan tiada pesakit Covid-19 memerlukan bantuan pernafasan.

Mengenai Kluster PUI Sivagangga, Dr Noor Hisham berkata setakat ini, sejumlah 4,636 orang disaring dalam kluster itu dan 45 didapati positif, 4,105 negatif manakala 486 masih menunggu keputusan ujian.

“Ujian saringan Covid-19 dijalankan di tiga negeri iaitu Kedah (4,078), Perlis (390) dan Pulau Pinang (168). Saringan kontak rapat dan aktiviti pengesanan kes secara aktif masih diteruskan,” katanya.

Menurutnya pelbagai langkah pencegahan dijalankan Kementerian Kesihatan Malaysia seperti proses nyah kuman dan nyah cemar di beberapa kawasan yang telah dikenal pasti berkait rapat dengan kluster tersebut.

Related posts

Leave a Comment