Pengundi Johor pilih apa, siapa?

SIAPA pilihan 2,539,606 pengundi Johor esok, 12 Mac 2022? Parti apa pula yang akan menguasai kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor kali ini? Adakah kerajaan negeri yang bakal terbentuk mempunyai mandat majoriti dua pertiga?

Semuanya akan terjawab malam esok selepas proses pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-15 berakhir pukul 6 petang esok.

PRN kedua selepas Melaka sebelum penggal DUN berakhir pada masa yang ditetapkan secara tidak langsung memberi gambaran sejauh mana persediaan parti-parti politik dalam menghadapi pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Kempen PRN Johor nampak lebih terbuka berbanding PRN Melaka. Maka pengundi lebih terdedah kepada pelbagai perkara sama ada yang baik dan buruk. Ini cabaran kepada pengundi untuk memilih yang terbaik.

Keputusan PRN ini juga akan memberi peluang kepada parti-parti politik melakukan perubahan dan membaiki kelemahan masing-masing bukannya rasa selesa atau ‘terpedaya’ dengan sambutan semasa kempen yang bermula 26 Februari lalu.

Ini kerana semua parti politik yang akan turun ke gelanggang PRU akan datang terlibat secara langsung dalam PRN ini.

Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) merupakan gabungan utama yang bertanding di samping PKR, Pejuang, Muda, PBM, PSM, Warisan dan Putra bertanding menggunakan logo masing-masing.

BN dan PN bertanding semua 56 kerusi manakala PH atas nama DAP dan Amanah bertanding 30 selebihnya PKR 20 dan rakan baharu Muda 7 manakala Pejuang 42 kerusi sementara parti lain sekadar ada seperti menguji ‘pasaran’.

Justeru saingan yang ada melibatkan empat parti utama iaitu BN, PN, PH + PKR + Muda dan Pejuang.

Berdasarkan keputusan PRU lalu, PH menguasai 36 kerusi, BN 19, Pas 1. Menyelak kembali PRU lepas, PH merupakan gabungan PKR, DAP, Amanah dan Bersatu manakala Pas bertanding sendirian.

Bagaimanapun tindakan menarik sokongan, lompat parti menyebabkan kerajaan PH tidak stabil sehingga berlaku peralihan kerajaan sebanyak dua kali iaitu PH kepada PN dan disusuli kepada BN.

Situasi ini berlaku apabila tidak ada parti tunggal yang mendapat kerusi majoriti manakala gabungan yang ada walaupun mempunyai majoriti tetapi tidak sepakat, berubah pendirian atas kepentingan politik sehingga kerajaan tumbang.

Ini isyarat untuk rakyat Johor yang perlu sedar bahawa amat penting memilih sebuah kerajaan yang stabil atas nama gabungan yang kukuh supaya ‘kerosakan dan kekalutan’ yang berlaku dalam tempoh tidak sampai lima tahun ini tidak berulang.

Pengundi Johor harus ingat ini bukan pilihan raya ‘cobaan’ menjelang PRU ke-15. Ingatlah pada PRU akan datang rakyat Johor hanya berpeluang memilih wakil di peringkat Parlimen, bukannya menteri besar.

Justeru tanggungjawab 2.5 juta pengundi ini amat penting. Pilihan bagi Johor mengembalikan kestabilan seperti pada masa lalu ketika BN atau UMNO  menjadi ‘tiang seri’  yang tidak dapat diganggu gugat parti seperti DAP, Pas dan PSRM.

Selaklah kembali bagaimana suasana kestabilan ketika itu sehingga membawa kepada pembangunan yang jauh lebih baik bagi Johor berbanding negeri lain. Waktu boleh dikatakan tidak ada Pas, kecuali seorang dua wakil DAP.

Mewujudkan kerajaan yang stabil, berpengalaman dan boleh bertanggungjawab dalam tempoh lima tahun ini amat penting bukannya memilih atas perasaan dendam, marah, emosi, simpati, atau dipengaruhi persepsi sepanjang kempen.

Dalam politik, pelbagai usaha dilakukan untuk meruntuhkan mana-mana institusi yang dianggap kukuh dan berpengaruh. Maka tidak hairanlah sepanjang kempen ini segala keburukan atau kelemahan parti termasuk individu politik didedahkan.

Pelbagai label diberikan antara satu sama lain yang matlamat akhirnya mahu melemah atau ‘membunuh’ parti bukannya individu yang dilabel dengan pelbagai gelaran buruk sehingga menggambarkan seluruh parti ‘teruk dan buruk’.

Andai politik itu manusia, apabila pakaiannya dilondeh, maka nampaklah segala ‘keburukan’,  pelbagai parut, kurap, panau dan sebagainya. Adakah semuanya itu tidak boleh diubat sehingga ia perlu dibiarkan ‘mati’?

Related posts

Leave a Comment