Brunei catat 2,914 kes baharu

BERAKAS 11 Mac – Brunei Darussalam merekodkan tiga lagi individu meninggal dunia, dua daripadanya dikaitkan dengan jangkitan Covid-19 sementara satu lagi tidak berkaitan, kata Menteri Kesihatan Dr Md Isham Jaafar.

Bercakap pada sidang media Situasi Terkini Jangkitan Covid-19 di sini hari ini, beliau berkata, ini menjadikan jumlah keseluruhan kematian meningkat kepada 77 orang.

Katanya, terdapat 15 kes kategori 4 iaitu memerlukan bantuan oksigen dan di bawah pemantauan rapi dan sembilan kes Kategori 5, memerlukan bantuan mesin pernafasan dan dirawat di Unit Rawatan Intensif.

Beliau memberitahu sebanyak 2,914 kes baharu dilaporkan hari ini yang membawa kepada jumlah keseluruhan meningkat kepada 106,936 orang.

Menurut Dr Md Isham, daripada jumlah kes baharu itu, sebanyak 2,535 adalah hasil pengesanan daripada ujian ART manakala 379 kes lagi adalah hasil daripada 3,502 ujian makmal RT-PCR dalam tempoh 24 jam lalu.

Sebanyak 4,683 kes sembuh dilaporkan hari ini yang membawa kepada jumlah kes pulih 68,764 manakala jumlah kes aktif sebanyak 38,014.

Pada masa ini kata Dr Isham , kadar pengisian di Pusat-pusat Pengasingan di seluruh negara atau ‘bed occupancy rate’ adalah sebanyak 8.6 peratus  dengan 272 kes aktif sedang menjalani rawatan di pusat-pusat pengasingan dan hospital.

Katanya, sebanyak 37,742 kes positif sedang menjalani pengasingan diri di rumah.

Mengenai pencapaian Program Vaksinasi Kebangsaan, sehingga 10 Mac, sebanyak 57.9 peratus daripada keseluruhan penduduk di negara ini menerima tiga dos vaksin, manakala kadar satu dan dua dos masing-masing melebihi 94 peratus.

Related posts

Leave a Comment