SEPANG 6 Jun – Mesyuarat Biro Politik PKR hari ini melantik Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH), Saifuddin Nasution Ismail dan Ahli Parlimen Sekijang, Dr Zaliha Mustafa sebagai Naib Presiden PKR yang baharu.
Ketua Penerangan PKR, Fahmi Fadzil dalam satu kenyataan berkata, pelantikan itu bagi mengukuh dan memantapkan lagi organisasi serta gerak kerja parti di peringkat pusat.
Saifuddin Nasution juga adalah Menteri Dalam Negeri manakala Dr Zaliha pula Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan PKR dan Pengerusi PKR Johor.
PKR ketika ini mempunyai empat Naib Presiden iaitu Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari; Menteri Besar Negeri Sembilan, Aminuddin Harun; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang dan Menteri Sumber Manusia, R Ramanan.
Fahmi berkata Biro Politik dan Majlis Pimpinan Pusat PKR juga memutuskan Kongres Tahunan Keadilan yang pada awalnya dijadualkan pada 26 hingga 28 Jun ini, ditangguhkan ke 14 hingga 16 Ogos depan manakala lokasinya masih dikekalkan di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh.
Katanya, penangguhan ini dibuat bagi memberi ruang khususnya kepada PKR Johor dan Negeri Sembilan untuk mempertingkat kesiap siagaan dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) yang bakal berlangsung.
Nnnnnn
