ISKANDAR PUTERI 7 Jun – Barisan Nasional (BN) Johor tidak akan bekerjasama dengan DAP jika diberi mandat semula untuk membentuk kerajaan negeri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16 ini, kata Pengerusinya, Onn Hafiz Ghazi.
Beliau berkata pendirian itu adalah sebahagian daripada ketetapan politik gabungan berkenaan pada peringkat negeri ini.
“Jika diberi mandat sekali lagi, kita tidak sekali-kali akan bersama DAP dalam kerajaan. Ini bukan isu emosi atau perkauman, tetapi pendirian politik BN Johor.
Saya lebih rela tidak memegang jawatan daripada duduk semeja dengan mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera BN Johor yang disempurnakan oleh Pengerusi BN, Dr Ahmad Zahid Hamidi, di Stadium Educity, Iskandar Puteri, hari ini.
Onn Hafiz sekali gus menekankan bahawa pelbagai dakwaan dan persepsi politik yang berlegar dalam media sosial, perlu ditangani dengan fakta.
Katanya, rakyat Johor sudah matang, tahu menilai antara fitnah dengan fakta, termasuk dakwaan kononnya ‘BN dan DAP akan bekerjasama’, serta naratif bahawa kerajaan negeri tidak akan stabil.
Beliau turut menjelaskan, PRN Johor perlu diadakan lebih awal atas faktor-faktor tertentu termasuk keadaan kalendar sosial dan ekonomi yang padat pada tahun depan seperti musim perayaan, musim tengkujuh, serta cabaran cuaca dan geopolitik global.
“Bulan puasa, Tahun Baharu Cina, Aidilfitri serta musim tengkujuh akan menjadikan tahun depan sangat mencabar untuk pengurusan pilihan raya. Ditambah pula ketidaktentuan geopolitik global… kita memerlukan kestabilan lebih awal,” katanya.
Onn Hafiz turut mengingatkan jentera BN agar memperkukuhkan gerak kerja pada peringkat akar umbi, khususnya dalam mendekati pengundi muda dan memastikan pencapaian kerajaan negeri dapat difahami rakyat.
Nnn
