UMNO Negeri Sembilan sudah ada senarai

JELEBU 6 Jun  – UMNO Negeri Sembilan sudah mempunyai senarai nama calon yang akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16 tidak lama lagi dengan menggabungkan muka lama dan baharu dengan pelbagai latar bidang pendidikan.

Pengerusinya,  Jalaluddin Alias, berkata senarai itu yang turut melibatkan orang muda dan wanita akan diserahkan kepada Presiden, Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk diperhalusi dan dipersetujui.

“Barisan Nasional (BN) akan bertanding di semua 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan pembahagian kerusi turut membabitkan parti komponen MCA dan MIC.

“Bagaimanapun, pembahagian kerusi berkaitan akan diputuskan pada satu mesyuarat dalam masa terdekat,” katanya pada majlis perkahwinan lapan pasangan pengantin serentak di Masjid Dato Undang Luak Jelebu di sini, hari ini.

Ketika PRN Ke-15 pada Ogos 2023, Pakatan Harapan (PH) menang 17 kerusi, UMNO (BN) 14 kerusi dan Perikatan Nasional (PN) memenangi lima kerusi.

Sementara itu, Jalaluddin berkata, semua perkara berkaitan PRN akan diputuskan pada mesyuarat berkenaan termasuk kerusi yang ditandingi UMNO seperti DUN Jeram Padang.

Katanya, UMNO negeri sudah bersedia dan menggerakkan jentera bagi menghadapi PRN kali ini.

Semalam, Zahid berkata, ruang p ‘rundingan’ antara BN dan PH masih wujud bagi mengekalkan Kerajaan Perpaduan di Negeri Sembilan.

Katanya, ruang rundingan itu belum tertutup walaupun PH sebelum ini memaklumkan mahu bergerak solo.

“Kita bersedia menghadapi pilihan raya di Negeri Sembilan ini, biarpun itu adalah keputusan daripada pentadbiran kerajaan negeri di Negeri Sembilan melalui parti-parti komponen dalam PH.

“Tentunya kita sangat terbuka, bukan sahaja untuk terus mengekalkan Kerajaan Perpaduan di Negeri Sembilan. Namun tentunya terlalu awal untuk kita tidak mengadakan perundingan bagi menentukan bahawa Kerajaan Perpaduan akan dikekalkan,” katanya.

Related posts

Leave a Comment