JANGAN ROSAKKAN ‘PAYUNG’ ITU

PAPA lagi alasan yang boleh digunakan untuk mewajarkan pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang terkesan akibat banjir mengeluarkan simpanan mereka? Elok tunggu dulu daripada terus mendesak mahu mengeluarkan caruman.

Ini kerana keseluruhan pemberian tunai oleh kerajaan kepada mangsa banjir boleh mencecah RM10,000 bagi setiap ketua isi rumah. Bertahan dulu, berbelanja dengan apa yang ada. Dengan sikap prihatin rakyat Malaysia, ambil apa yang diberi.

Musibah sudah berlaku. Orang Melayu yang sering diperingatkan dengan pelbagai peribahasa atau perumpamaan perlu lebih berhati-hati.

KWSP umpama ‘sediakan payung sebelum hujan’. Tetapi sekarang bukan lagi hujan tetapi banjir atau bah. Payung ‘tidak berguna lagi’ semasa bah. Elok jaga payung itu, jangan ‘dirosakkan’ hanya kerana mahu mengelak basah ketika meredah bah.

Nampaknya, kebanyakan orang tidak mempunyai simpanan atau pelaburan lain yang boleh diguna semasa kecemasan. Atau ada tetapi sudah habis disebabkan tidak ada sesiapa yang dapat mengawal pengeluaran simpanan atau pelaburan itu.

Berbeza dengan KWSP, pengeluaran ada syarat dan hadnya. Itu pun semakin lama semakin longgar, seolah-olah sudah lari dari slogan KWSP Simpanan Hari Tua Anda!

Bagi yang sudah mencapai usia tua, bersara, tidak bekerja, tidak berpencen akan terasa betapa besar manfaatnya simpanan KWSP ini. Mungkin yang belum bersara belum tahu. Itu pun berhati-hati supaya simpanan KWSP tidak cepat susut.

Apa tidaknya duit KWSP itulah yang akan menyambung pelbagai hutang dengan institusi kewangan yang masih belum jelas – biasanya perumahan. Begitu juga untuk belanja harian dan bulanan – pelbagai bil perkhidmatan – air, elektrik, telefon.

Bagi yang masih ada tanggungan tentulah lebih terasa bebannya. Bukit jika ditarah, lama-lama rata juga. Bila sudah terjadi begitu, di mana lagi mahu berpaut? Pinjam? Siapa yang akan beri pinjaman? Bimbang hutang bayar hutang.

Mungkin dalam keadaan terdesak, usia masih muda, mampu bekerja, kita tidak memikirkan keperluan hari tua itu. Disebabkan itu duit kita, hak kita, maka kita fikir boleh buat apa sahaja. Duit kami hak kami, tidak perlu ‘campur tangan’ kerajaan.

Hakikatnya kerajaan juga bertanggungjawab untuk menjaga masa depan rakyatnya. Sebelum ini, kerajaan sudah melayani permintaan pencarum melalui pengeluaran menerusi i-Sinar dan i-Citra.

Malahan pengeluaran untuk pembiayaan lain seperti perumahan juga dibenarkan.

Justeru, selepas pengeluaran ini, berapakah simpanan kita terutama orang Melayu dan Bumiputera yang masih berbaki di KWSP? Menurut Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz hampir 50 peratus – atau enam juta – pencarum mempunyai baki caruman kurang daripada RM10,000.

Jika benar situasi ini, akan ada yang berisiko menjadi miskin tegar selepas bersara. Akan terus bekerja pada usia senja. Akhirnya, rakyat juga yang terkesan pada jangka masa panjang malahan kerajaan akan dibebani kos menampung warga tua.

Seseorang itu memerlukan RM240,000 untuk membiayai persaraan mereka selama 20 tahun pada kadar RM1,000 sebulan. Dan dengan simpanan kurang daripada RM10,000 itu, enam juta ahli KWSP tidak dapat bersara dengan selamat.

Justeru, ingat sebelum kena, jimat sebelum habis. Simpanan dana persaraan itu perlu dijaga. Jangan ‘rosakkan payung’ yang akan memayungi kita pada usia emas.

Related posts

Leave a Comment