JAKARTA – Jumlah penduduk Indonesia kini mencecah 290.13 juta orang, meningkat kira-kira 1.81 juta berbanding 288.32 juta pada penghujung 2025, dengan hampir tujuh daripada setiap 10 penduduk berada dalam lingkungan usia produktif.
Angka tersebut berdasarkan Data Kependudukan Bersih (DKB) bagi Semester Pertama 2026 yang dikeluarkan Direktorat Jeneral Kependudukan dan Pencatatan Sivil (Dukcapil) Kementerian Dalam Negeri Indonesia.
Menurut Ketua Pengarah Kependudukan dan Pencatatan Sivil, Teguh Setyabudi, pertambahan itu mencerminkan peningkatan semula jadi penduduk hasil jumlah kelahiran yang melebihi kematian, selain penyesuaian data selepas proses pembersihan dan penyatuan rekod biometrik.
“Dalam setiap kemas kini data yang dibuat setiap semester, pertambahan penduduk secara purata adalah sekitar 1.7 hingga 1.8 juta orang,” katanya.
Daripada keseluruhan penduduk itu, seramai 201.06 juta orang atau 69.3 peratus berada dalam lingkungan umur 15 hingga 64 tahun, iaitu kategori usia bekerja yang dianggap sebagai bonus demografi. penghujung 2025
Sementara itu, 65.96 juta orang atau 22.74 peratus berusia bawah 15 tahun, manakala 23.1 juta orang atau 7.96 peratus terdiri daripada warga emas berumur 65 tahun ke atas.
Berdasarkan pecahan generasi, Generasi Z membentuk kumpulan terbesar dengan 75.36 juta orang, bersamaan 25.98 peratus daripada jumlah penduduk diikuti Generasi Milenial 68.53 juta orang atau 23.62 peratus daripada keseluruhan penduduk.
Jumlah Generasi X dan ‘baby boomers’ atau yang lahir antara 1946 dengan 1964, pula hampir seimbang, masing-masing sekitar 55 juta orang.
Mengikut taburan penduduk mengikut wilayah, Jawa Barat kekal sebagai wilayah paling ramai penduduk dengan 52.59 juta orang diikuti Jawa Timur 42.40 juta penduduk, manakala Jawa Tengah di tempat ketiga dengan 38.75 juta orang.
Tiga wilayah yang mempunyai penduduk paling sedikit ialah Papua Barat, Papua Selatan dan Papua Barat Daya, masing-masing mempunyai kurang daripada 650,000 penduduk.
