WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump membuat kejutan dengan menuntut Iran membayar pampasan kepada individu yang didakwanya terbunuh dalam peperangan, serangan dan tunjuk perasaan.
Cadangan Trump itu adalah sebagai tindak balas terhadap tuntutan Tehran supaya pampasan dibayar serta sekatan terhadapnya ditamatkan selaras dengan terma perjanjian damai awal yang ditandatangani pada Jun, namun gagal dilaksanakan.
Sejak perang bermula pada Februari, Trump berulang kali berubah pendirian antara mengancam peningkatan konflik dan mendakwa perjanjian damai semakin hampir dicapai.
“Saya melihat wakil Republik Islam Iran meminta pampasan atas kerosakan yang dialami mereka sepanjang konflik ketenteraan lima bulan lalu. Ia satu idea yang menarik kerana kini saya juga menuntut pampasan daripada Iran,” tulis Trump menerusi platform Truth Social.
Bagaimanapun, tidak jelas bagaimana kedua pihak dapat mencapai persetujuan memandangkan masing-masing berkemungkinan menolak tuntutan pihak lawan.
Harga minyak meningkat selepas hantaran Trump itu, dengan minyak mentah Brent diniagakan pada AS$87 (RM356) setong, meningkat 4.6 peratus pada hari berkenaan.
Trump berkata AS akan menuntut pampasan bagi individu yang terbunuh atau cedera dalam konflik terdahulu, selain bayaran kepada keluarga ratusan ribu penunjuk perasaan yang didakwanya dibunuh Iran.
“Selain itu, berhubung rundingan dengan Iran, Iran perlu bertanggungjawab terhadap kerosakan dan kematian yang menimpa rakyat Lubnan, Syria, Yaman dan Gaza!” tulis Trump dalam hantaran keduanya.
Nnn
