Kerajaan Persekutuan bukan milik PH

MALAM tadi, Presiden UMNO, Dr Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan pemimpin Pakatan Harapan (PH) – PKR, DAP, Amanah supaya tidak menjaja naratif meminta Bangsa Johor memilih kerajaan negeri yang selari dengan kerajaan Pusat.

Adakah kerajaan negeri Johor, diterajui Barisan Nasional (BN) di bawah pimpinan Onn Hafiz Ghazi tidak selari dengan kerajaan Persekutuan (Pusat)?

Sejak awal lagi, pemimpin PH ‘memutarkan’ naratif itu di pentas ceramah kempen mereka seolah-olah BN itu tidak wujud dalam kerajaan Persekutuan sedangkan Ahmad Zahid mengakui ibarat berada di tengah-tengah hidangan sandwich .

Modal kempen mereka termasuk bertaraf menteri menyeru pengundi Johor memberikan mandat kepada PH pada Pilihan Raya Umum Dewan Negeri (PRU DN) kali ini bagi menjamin keselarasan pentadbiran antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan seterusnya memastikan agenda pembangunan berjalan lancar.

Pada masa yang sama “serangan berterusan” terhadap UMNO @ BN termasuk personaliti tertentu seolah-olah parti yang membantu pembentukan kerajaan tidak ada peranan.

Ini bukan kempen di Perlis, Kedah, Terengganu atau Kelantan yang diterajui Perikatan Nasional (PN) yang parti gabungannya Pas, Bersatu dan Gerakan.

Johor masih di bawah Kerajaan Perpaduan kerana BN adalah penyumbang kepada pembentukan kerajaan Persekutuan.

Harus diingat, kerajaan negeri Johor wujud sebelum kelahiran Kerajaan Perpaduan.

Dan tiada siapa boleh menjangka sama ada keputusan pada PRU akan datang masih terikat sehingga memerlukan pembentukan Kerajaan Perpaduan. Maka naratif  pilih kerajaan negeri selari kerajaan Persekutuan ketika ini tidak boleh diterima. Siapa tahu sama ada BN, PH atau PN boleh membentuk kerajaan?

Sepatutnya, pemimpin PH apabila berkempen tidak lupa untuk menyeru Bangsa Johor memilih BN atau kekalkan BN yang sudah pun bersama-sama membentuk kerajaan Pusat atas nama Kerajaan Perpaduan dan kemudian dilabel Madani.

Ya mungkin mereka boleh berselindung dan berkata itulah maksud memilih kerajaan selari dengan pusat sama ada BN atau PH tetapi apabila pertembungan antara BN-PH berlaku, ia bermakna masing-masing mahu menjadi kerajaan negeri.

Justeru bertindaklah secara profesional seperti kata Ahmad Zahid walaupun beliau terpaksa bekerjasama dengan parti-parti yang sebelum ini merupakan seteru politik.

“Di pusat saya macam sandwich. Sebelah saya Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan sebelah lagi Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke.

“Tetapi saya profesional. Kerajaan ini dibentuk atas titah Yang di-Pertuan Agong demi rakyat dan negara,” katanya ketika berucap pada Himpunan Anak Tiram di Kota Masai malam tadi.

BN mahu mempertahankan kerajaan negeri yang dipimpinnya tanpa diapit kiri kanan oleh DAP dan PKR+Amanah. Itu pendirian awal Menteri Besar Onn Hafiz Ghazi yang kemudiannya menerima pelbagai sindiran dan label oleh pemimpin PH.

Loke antara pemimpin paling awal tampil menyindir Onn Hafiz, susulan kenyataan Pengerusi BN Johor itu bahawa beliau lebih rela tidak memegang jawatan daripada duduk semeja dengan DAP.

Menerusi hantaran melalui Facebook, Loke turut membayangkan secara sinis bahawa pendirian Menteri Besar Johor itu bercanggah dengan realiti kerjasama BN dengan DAP pada peringkat Persekutuan.

“Anda tak nak duduk semeja dengan DAP… hebat! Teruskan keangkuhan kamu.

Tapi, Presiden anda (Ahmad Zahid) tiap-tiap minggu duduk sebelah Setiausaha Agung DAP ya… harap maklum, terima kasih!” katanya.

Setiausaha Agung DAP itu mungkin buat-buat lupa bahawa kerajaan pimpinan Onn Hafiz bukan Kerajaan Perpaduan walaupun wakil PH sebelum ini meminta mereka dilibatkan bersama dalam kerajaan negeri.

Pelbagai cubaan dibuat untuk menghalalkan penyertaan tiga serangkai itu – PKR, DAP, Amanah namun sehingga dibubarkan, BN yang juga menggabungkan tiga serangkai di Semenanjung – UMNO, MCA, MIC kekal kerajaan solo.

Ada juga yang menuduh kenyataan Onn Hafiz untuk tidak bersama DAP sebagai rasis, membenci kaum Cina sedangkan hakikatnya BN ada MCA yang mewakili kaum Cina dan MIC mewakili masyarakat India. Justeru di mana rasis atau kebencian itu?

Nnnn

Related posts

Leave a Comment