Kes harian Malaysia turun

PUTRAJAYA 2 Jan. – Kes harian Covid-19 menunjukkan sedikit penurunan apabila 2,882 kes positif baharu dilaporkan, berbanding 3,386 semalam menjadikan jumlah keseluruhan 2,764,354 kes setakat ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah, berkata daripada bilangan kes yang dilaporkan hari ini, sebanyak 2,549 adalah penularan tempatan, membabitkan 2,478 atau 97.2 peratus warganegara dan 71 atau 2.8 peratus bukan warganegara.

Beliau berkata, KKM turut mengesan sebanyak 333 kes import yang membabitkan 313 warganegara dan 20 lagi warga asing.

Daripada 2,882 kes harian yang dilaporkan pada hari ini sebanyak 49 kes atau 1.7 peratus adalah kategori 3, 4, dan 5; dan 2,833 kes atau 98.3 peratus lagi adalah terdiri daripada kategori 1 dan 2.

Pesakit yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) adalah sebanyak 284 kes dan sebanyak 156 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Dr Noor Hisham berkata, hanya satu kluster jangkitan dikesan hari ini, menjadikan jumlah kluster jangkitan Covid-19 kini sebanyak 6,134 dengan 5,925 kluster sudah ditamatkan dan 209 lagi masih aktif.

Beliau berkata, sebanyak 3,291 kes sembuh dilaporkan yang menyumbang kepada sejumlah 2,692,216 kes pulih daripada jangkitan Covid-19 atau 97.4 peratus daripada keseluruhan kes yang dilaporkan.

Menurut Dr Noor Hisham, daripada angka kes harian setakat tengah hari ini, sembilan kes positif baharu dalam kalangan mangsa banjir dikesan menjadikan 460 mangsa banjir dijangkiti wabak berkenaan.

Bagaimanapun, tiada kes positif baharu COVID-19 serta kluster baharu dikesan di 143 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang masih beroperasi ketika ini di tujuh negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang, Sabah, Melaka, Johor, dan Negeri Sembilan.

Bagaimanapun sebanyak 63 kes penyakit berjangkit dikesan dalam kalangan mangsa banjir iaitu 42 kes Jangkitan Saluran Pernafasan Akut (ARI) dan masing-masing 11 dan 10 kes untuk penyakit Acute Gastroenteritis (AGE) dan penyakit kulit.

Related posts

Leave a Comment