KUALA LUMPUR 11 Ogos – Yang Dipertua Dewan Rakyat, Johari Abdul mengesahkan sudah mengemukakan kekosongan kerusi Parlimen Subang kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) susulan peletakan jawatan dikemukakan penyandangnya, Wong Chen, semalam.
Perkara itu dimaklumkan pada Sidang Khas Parlimen bagi membentangkan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini di Dewan Rakyat.
“Seperti mana Yang Berhormat sedia maklum, Yang Berhormat bagi kawasan Subang, Wong Chen telah menghantar surat untuk melepaskan keahlian beliau berkuat kuasa semalam sebagai ahli Dewan Rakyat kepada saya.
“Saya telah maklumkan kepada SPR mengenai kekosongan kerusi ahli Parlimen Subang selaras perkara 54 (1) Perlembagaan Persekutuan,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Semalam, Wong Chen mengesahkan peletakan jawatan beliau sebagai Ahli Parlimen Subang.
Menerusi satu muat naik di Facebook, beliau mengesahkan peletakan jawatan secara sukarela itu berkuat kuasa semalam, jam 5 petang.
Beliau merupakan Ahli Parlimen PKR ketiga meletak jawatan selepas Menteri Ekonomi Rafizi Ramli yang berkuat kuasa 17 Jun 2025 dan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad pada 4 Julai.
Kedua-duanya melepaskan jawatan Kabinet selepas gagal mempertahankan jawatan masing-masing iaitu Timbalan Presiden dan Naib Presiden pada pemilihan pimpinan pusat parti pada 23 Mei 2025.
Nnn
