Selepas tiga kali Oktober

APA khabar KELUARGA  Utusan MALAYSIA, Utusan Melayu (Malaysia) Berhad? Semoga semuanya baik-baik sahaja walaupun realitinya, sesetengahnya dalam keadaan ‘berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul’.

Hari ini 10.10.2021 atau 10 Oktober 2021. Tarikh 10.10 amat bersejarah – Tragedi Oktober – bagi keluarga Utusan. Sama ada ia secara kebetulan atau dirancang, yang pasti Oktober mencatat sejarah hitam dalam dunia persuratkhabaran Melayu.

Tarikh 10 Oktober 2018, adalah hari terakhir kakitangan Utusan yang memilih Skim Pemisahan Sukarela (VSS) memuktamatkan pendirian mereka sama ada menerima tawaran atau terus kekal bersama Utusan.

Manakala mulai 10 Oktober 2019, tiada lagi akhbar Utusan Malaysia dan Kosmo! di pasaran. Dua media utama arus perdana itu dimatikan! Syarikat gulung tikar.

Bagi yang memilih VSS, mereka meninggalkan Utusan pada bulan November 2018, bermakna sudah hampir tiga tahun sementara yang diberhentikan secara mengejut pula sudah dua tahun melangkah keluar dari Utusan.

Semua itu kini tinggal sejarah, bukan sekadar sejarah duka kepada Utusan Melayu itu sendiri tetapi kepada para pekerjanya sama ada yang sudah lama bersara atau mengambil VVS atau ditamatkan perkhidmatan.

Bagi yang mengambil VSS dan diberhentikan, mereka terabai. Sehingga sekarang pampasan yang dijanjikan hanya tinggal janji. Ramai yang masih menganggur, hidup bagaikan kais pagi makan pagi.

Benar ada yang sudah bekerja tanpa memilih kerja. Mereka yang dulu memegang pelbagai jawatan terpaksa mencari kerja baharu dalam suasana ekonomi yang tidak baik. Nasib baik dapat, nasib tidak baik menjadi golongan asnaf.

Ada yang tidak mampu bekerja atas faktor usia dan kesihatan, ada yang terlantar di katil hospital atau rumah. Lebih parah apabila kesengsaraan mereka terbawa-bawa ketika pelbagai sekatan dikenakan berikutan pandemik Covid-19.

Lebih menyedihkan ada juga yang telah kembali ke rahmatullah, dijemput Pencipta tanpa sempat merasai ganjaran atau pampasan yang dijanjikan.

Al-Fatihah kepada rakan-rakan VSS yang telah pergi terlebih dahulu termasuk Baharom Mahusin, Azman Mansor, Rosalan Muda, Suhaimi Kassim, Yasin Majid, Shaharudin Salleh, Fadilah Zakaria, Suhaida Yusof. Mohd Riza Osman dan Siti Hanizah Mohd Noordin.

Hari ini siapakah yang ambil peduli terhadap kebajikan bekas pekerja Utusan ini? Berapa ramai yang bertanya khabar? Adakah mereka yang terakhir menjadi ahli lembaga pengarah ketika Utusan gulung tikar tampil untuk membantu?

Di mana mereka yang pernah mendapat tempat di Utusan sehingga berjaya hari ini ? Adakah jasa akhbar itu khususnya kepada mereka dilupakan begitu sahaja? Budi dan jasa dikuburkan bersama Utusan?

Parti politik mana yang bersedia ‘menjenguk’ bekas warga kerja Utusan ini? Menteri mana yang bersedia memberi perhatian dan menyelesaikan kemelut yang bercelaru ini? Mungkin ada yang membantu tetapi hal yang  mendesak adalah pampasan.

Ketika bekas pekerja memahami situasi yang ada akibat pandemik, mereka masih tertanya-tanya apakah masih ada jalan keluar terhadap kemelut ini? Apakah kesudahannya nasib Keluarga Malaysia yang pernah bersama Keluarga Utusan ini?

Tidak banyak yang diminta oleh bekas pekerja Utusan ini. Mereka mahu jaminan pampasan dan ganjaran ditunaikan. Sudah terlalu lama mereka menunggu dan berjuang bersendirian umpama untung sabut timbul untung batu tenggelam.?

Related posts

Leave a Comment