THE HAGUE – Mahkamah tertinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) akan mengeluarkan keputusan penting pada 19 November ini berhubung dakwaan tindakan keras Myanmar terhadap etnik minoriti Rohingya, kebanyakannya beragama Islam, juga satu bentuk pembunuhan beramai-ramai.
Selama tujuh tahun Hakim Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) meneliti tuduhan Gambia bahawa tindakan penindasan kejam Myanmar terhadap etnik Rohingya melanggar Konvensyen PBB Mengenai Pembunuhan Beramai-ramai 1948.
Myanmar sejak sekian lama menafikan melakukan pembunuhan beramai-ramai terhadap etnik Rohingya.
Sebaliknya junta tentera mendakwa tindakannya menyasarkan kebangkitan bersenjata kumpulan pemberontak susulan beberapa serangan yang mengorbankan kira-kira 12 anggota keselamatan.
Tindakan keras tentera Myanmar bersama militia Buddha memaksa ratusan ribu etnik Rohingya melarikan diri ke negara jiran Bangladesh, dengan membawa bersama kisah mengerikan mengenai rogol berkumpulan dan hukuman mati beramai-ramai.
Lebih sejuta etnik Rohingya masih menetap di Bangladesh, yang menempatkan kem pelarian terbesar di dunia.
