Lahore bandar paling tercemar

NEW DELHI – Kualiti udara di beberapa kawasan di utara India dan Pakistan yang bersempadan, merosot dengan ketara selepas jerebu pramusim sejuk mula melanda kawasan itu, menjadikan Lahore bandar paling tercemar di dunia.

Sementara pihak berkuasa Delhi mengenakan sekatan bagi menangani jerebu toksik yang menyelubungi ibu negara itu.

Pencemaran udara menjadi masalah serius di rantau itu setiap tahun terutama pada waktu ini apabila udara dingin lagi padat memerangkap pelepasan dari kenderaan, tapak pembinaan serta pembakaran sisa tanaman.

Keadaan itu menyebabkan tahap pencemaran meningkat ke paras tertinggi di dunia dan mendedahkan penduduk kepada risiko penyakit pernafasan serius.

Penggunaan bunga api menjelang perayaan Deepavali hujung minggu ini dijangka memburukkan lagi pencemaran di India.

Pada awal Selasa, sebuah pertubuhan Switzerland yang mengukur tahap kualiti udara berdasarkan kepekatan bahan toksik, IQAir, merekodkan Indeks Kualiti Udara (AQI) di Lahore mencatatkan bacaan 447.

Bacaan AQI sehingga 50 dianggap baik dengan sedikit atau tiada langsung risiko terhadap kesihatan.

Kepekatan PM2.5 di Lahore adalah 60 kali lebih tinggi berbanding garis panduan pendedahan tahunan PM2.5 yang ditetapkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

PM2.5 merujuk kepada zarah halus berdiameter 2.5 mikron atau kurang yang boleh memasuki paru-paru, sekali gus meningkatkan risiko penyakit yang membawa maut serta masalah jantung.

Pihak berkuasa Pakistan berkata, penurunan suhu ketara dan tiupan angin perlahan menjejaskan kualiti udara di Lahore.

Dalam pada itu kerajaan Pakistan meningkatkan tindakan terhadap kilang batu bata yang melanggar peraturan alam sekitar dan terus menggesa petani elak membakar sisa tanaman selepas musim menuai.

IQAir turut merekodkan bacaan AQI lebih rendah di Delhi iaitu 215.

Bagaimanapun, Lembaga Kawalan Pencemaran Pusat India mengklasifikasikan kualiti udara di ibu negara itu sebagai sangat tidak sihat, dengan bacaan AQI yang lebih tinggi, iaitu 332.

Nnn

Related posts

Leave a Comment