Malaysia terima 1 juta dos vaksin

SUBANG JAYA 5 Julai – Pesawat Raya Airways TH384 yang membawa 1 juta dos vaksin Pfizer-BioNTech sumbangan kerajaan Amerika Syarikat (AS) selamat tiba di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, di sini, pada pukul 8.12 pagi.

Hadir menyaksikan ketibaan bekalan vaksin itu, Menteri Luar  Hishammuddin Tun Hussein, Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Khairy Jamaluddin Abu Bakar, dan Duta AS ke Malaysia Brian McFeeters.

Jumlah 1 juta dos vaksin tersebut merupakan daripada kumpulan awal 80 juta vaksin buatan Amerika Syarikat yang dijanjikan oleh pentadbiran Joe Biden bulan lalu untuk perkongsian global.

Khamis lalu, Malaysia menerima lagi sejuta dos vaksin Covid-19 keluaran AstraZeneca sumbangan dari kerajaan Jepun bagi meningkatkan keupayaan proses vaksinasi di bawah PICK.

Sementara itu Khairy berkata, setakat ini Malaysia peroleh sejumlah 6.4 juta dos vaksin Pfizer-BioNTech termasuk satu juta dos yang diterima hari ini.

“Ini bermaksud perolehan Malaysia adalah lebih 5.4 juta dos, sementara sumbangan dari AS lebih satu juta dos,” katanya pada sidang media selepas menyaksikan ketibaan bekalan vaksin itu.

Mengulas lanjut, Khairy memberitahu, sumbangan itu adalah simbolik kepada keprihatinan dan kepercayaan kerajaan AS terhadap Malaysia dalam memerangi pandemik COVID-19 serta menyokong program imunisasi global.

“Saya yakin sumbangan vaksin ini adalah tanda keakraban hubungan antara kedua-dua negara Malaysia dan AS di mana kita yakin sumbangan ini akan memperkukuhkan lagi hubungan dua hala,” tambahnya.

Related posts

Leave a Comment