SEPANG 10 Ogos – Seorang lagi wakil rakyat PKR mengosongkan kerusi yang dimenangi pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu apabila Wong Chen mengesahkan peletakan jawatan sebagai Ahli Parlimen Subang berkuat kuasa hari ini.
Menerusi satu muat naik di Facebook, beliau mengesahkan peletakan jawatan secara sukarela itu berkuat kuasa mulai pukul 5 petang.
Sebelum ini, bekas Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli dan bekas Naib Presiden PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad, masing-masing meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen Pandan dan Setiawangsa.
Dalam pada itu Wong Chen turut berkongsi notis yang dihantar kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat bertarikh 5 Ogos melalui pautan sama.
“Pada 5 Ogos, saya telah bertemu dengan Yang Dipertua Dewan dan menyerahkan surat peletakan jawatan saya sebagai Ahli Parlimen, yang berkuat kuasa pada 10 Ogos, jam 5 petang,” katanya.
Beliau berkata langkah itu dibuat bagi memberikan tempoh tiga hari bekerja kepada pegawai-pegawai Parlimen untuk membuat persiapan berhubung kekosongan kerusi Parlimen Subang.
“Kami telah mencapai persetujuan secara ‘gentleman’s agreement’ untuk tidak mendedahkan sebarang butiran sehingga 10 Ogos, jam 5.00 petang.
Kami juga akan menggugurkan gelaran kehormat “Yang Berhormat” daripada semua papan iklan, papan tanda dan surat-menyurat kami menjelang bulan hadapan,” katanya yang turut memaklumkan satu sidang media akan diadakan pukul 11 pagi Rabu ini.
Wong Chen sudah tiga penggal mewakili kerusi Parlimen Subang bersama Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung yang berada dalam kem Rafizi yang, sebelum ini mendakwa tidak dibenarkan mengakses sistem portal peruntukan khas (MyKHAS) yang digunakan untuk menguruskan peruntukan pembangunan kawasan.
Masalah sama turut dihadapi Ahli Parlimen Ampang, Rodziah Ismail yang juga dilihat berada dalam kem Rafizi.
Ketiga-tiga mereka serta Ahli Parlimen Sungai Siput, S Kesavan dan Ahli Parlimen Wangsa Maju, Zahir Hassan meluahkan rasa kecewa dan memberikan peringatan tegas berhubung tindakan berkenaan.
