Belum putus pendirian 5 ADUN UMNO

KUALA LUMPUR 11 Jan. – UMNO belum memutuskan sebarang pendirian mengenai kedudukan lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mewakili parti itu di Sabah yang menyertai dan menyokong Kabinet negeri pimpinan, Hajiji Noor.

“Kita belum buat sebarang keputusan mengenainya. Saya ucapkan selamat berkhidmat untuk mereka. Sebab kerajaan Sabah ini begitu unik sekali,” kata Setiausaha Agung UMNO,  Ahmad Maslan.

Beliau bagaimanapun berharap keadaan akan stabil kembali dan segala persoalan akan dijawab dengan baik kemudiannya.

“Bab itu (pendirian UMNO mengenai kedudukan lima ADUN di Sabah) kita beri komen kemudian. Kita nak tumpu Perhimpunan Agung UMNO (PAU) hari ini sampai Sabtu nanti,” katanya pada sidang media di Laman PAU 2022 di sini, hari ini.

Lima ADUN terbabit ialah  Ir Shahelmey Yahya (Tanjung Keramat), Dr Yusof Yacob (Sindumin),  Jasnih Daya (Pantai Dalit), Mohd Arsad Bistari (Tempasuk) dan  James Ratib (Sugut).

Dua daripada mereka iaitu Shahelmey dan James Ratib dilantik menganggotai Kabinet pimpinan Hajiji.

UMNO dan Barisan Nasional (BN) Sabah sebelum ini mengumumkan menarik sokongan kepada Hajiji yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sebagai Ketua Menteri, namun langkah itu tidak dipersetujui lima ADUN berkenaan.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Moktar Radin yang juga Pengerusi BN negeri berkata, pendirian dibuat selepas hilang kepercayaan kepada kedudukan Hajiji sebagai Ketua Menteri, selain perjanjian antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) sudah dilanggar.

Susulan tindakan itu, Bung Moktar yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan dan ADUN Lamag digugurkan daripada Kabinet baharu diumumkan Hajiji hari ini.

Related posts

Leave a Comment