SHAH ALAM 10 Ogos – “Amirudin (MB Selangor) adalah adindaku, Ng Suee Lim (ADUN Sekinchan) adalah sahabatku., George (ADUN Sentosa) adalah temanku. Amanah adalah peganganku. Kekal tenang adalah prinsip aku. Kak Yam (ADUN Mariam Abdul Rashid) kenalanku,”
Begitulah kelunakan ucapan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, tanpa serangan keras terhadap kerajaan negeri ketika beliau mengambil bahagian dalam perbahasan di sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor hari ini.
Mohamed Azmin ketika sesi perbahasan Rancangan Selangor Kedua (RS-2), hari ini dilihat mempamerkan ucapan ‘mesra kerajaan’.
“Marilah kita wujudkan Selangor yang semakin sukses dan baik di masa depan. Maju negerinya, sejahtera rakyatnya, bersatu kita rakyat Srelangor,” kata Mohamed Azmin dalam perbahasan itu.
Terdahulu dalam ucapan perbahasannya, Mohamed Azmin berkata keadaan politik hari ini bertambah gila selain menempelak kumpulan yang menghalalkan kleptokrasi.
“Keadaan politik bertambah gila, apabila ada pula kumpulan yang menghalalkan kleptokrasi, mengiyakan kebobrokan dengan fatwa baru.
“Ini adalah proses memperbodohkan rakyat. Atas nama penyatuan Melayu kononnya, Melayu kini berpecah. Apabila Melayu berpecah, mereka salahkan kaum lain untuk menutup kepalsuan sendiri.
“Wahai Datuk Menteri Besar. Jangan gundah gulana. Jangan benarkan fahaman ini bertapak di Selangor. Teruskan langkahmu untuk membangun negeri Selangor. Anda tidak berseorangan. I am always here for Selangor (Saya sentiasa ada di sini untuk Selangor).
“Selangor mesti terus membangun atas nama penyatuan yang membangun, bukan penyatuan yang sarat dengan kepalsuan, fahaman karut dan kepura-puraan yang membawa kehancuran umat dan negara,” katanya.
Mohamed Azmin yang ditemui pemberita di luar dewan bagaimanapun enggan mengulas lanjut berhubung kenyataannya ketika perbahasan itu.
Jumaat lalu, media melaporkan Amirudin berkata, kerjasama politik antara parti yang membentuk jajaran baharu boleh diumpamakan seperti sebuah perkahwinan yang mempunyai tempoh tertentu sebelum berakhir.
Naib Presiden PKR itu berkata, politik ketika ini sangat dinamik dan mencabar apabila wujud keadaan parti yang bekerjasama dalam pentadbiran, namun kembali bersaing apabila tiba musim pilihan raya.
Bagaimanapun katanya, keadaan itu memerlukan kematangan politik dalam memastikan kestabilan terus dipelihara selain mengutamakan kepentingan rakyat.
Nnnn
