PN cadang tangguh bentang laporan RCI TH

SEPANG 10 Ogos – Perikatan Nasional (PN) mencadangkan sidang khas Parlimen bagi membentangkan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan Tabung Haji (TH) ditangguhkan ke tarikh sesuai sehingga Perdana Menteri Anwar Ibrahim pulih dan dapat hadir ke Dewan Rakyat.

Ketua Whip PN Takiyuddin Hassan berkata pembentangan laporan berkenaan yang dijadualkan esok wajar dibuat sendiri oleh Anwar memandangkan beliau pernah membangkitkan isu tersebut kepada pengetahuan umum.

“Memandangkan isu Tabung Haji merupakan perkara yang sangat penting dan melibatkan kepentingan awam, PN berpandangan bahawa adalah amat wajar sekiranya pembentangan laporan ini dibuat sendiri oleh perdana menteri,” menurut kenyataan.

Takiyuddin berkata kehadiran Anwar di Dewan Rakyat untuk membentangkan dan memberikan penjelasan berhubung laporan RCI itu amat signifikan.

“Ia bukan sahaja penting dari sudut ketelusan dan akauntabiliti, malah wajar bagi memastikan rakyat mendapat penjelasan yang menyeluruh dan komprehensif mengenai perkara yang pernah dibangkitkan oleh Perdana Menteri sendiri sebelum ini,” katanya.

Menurut Takiyuddin, PN telah menghantar surat rasmi kepada Speaker Dewan Rakyat, Johari Abdul, bagi memohon penangguhan dan surat itu diterima secara rasmi oleh pejabat speaker hari ini.

PN turut mendoakan Anwar dan Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof dikurniakan kesembuhan segera supaya dapat kembali menjalankan tugas seperti biasa.

Sementara itu, Anwar selamat menjalani prosedur pembedahan laparoskopi secara elektif bagi merawat hernia perut (para-umbilical hernia).

Ketua Pasukan Perubatan kepada Perdana Menteri,  Dr Asri Ranga Abdullah Ramaiah berkata, prosedur tersebut berjalan lancar di bawah kendalian pasukan pakar perubatan.

“Beliau kini sedang menjalani rawatan fisioterapi serta berada di bawah pemantauan pasukan pakar perubatan bagi memastikan proses pemulihan berjalan dengan baik,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, Setiausaha Akhbar Kanan Anwar, Tengku Nashrul Abaidah memaklumkan Perdana Menteri sedang menjalani pemeriksaan dan prosedur yang ditetapkan oleh pasukan pakar perubatan dan dijangka berada di bawah pemantauan selama dua hari.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment