SEREMBAN 10 Ogos – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nilai, J Arul Kumar dilantik sebagai Pengerusi DAP Negeri Sembilan yang baharu berkuat kuasa hari ini bagi menggantikan Anthony Loke yang mengumumkan melepaskan jawatan itu baru-baru ini.
Loke yang juga Setiausaha Agung DAP pada sidang media di Pejabat DAP Negeri Sembilan di sini, hari ini berkata, pelantikan itu diputuskan sebulat suara oleh Jawatankuasa DAP negeri.
“Saya merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada saudara Arul Kumar yang diberikan sokongan sebulat suara oleh ahli jawatankuasa,” katanya.
Loke berkata, DAP kekal dengan pendirian sebagai parti pelbagai kaum dan tidak asing bagi DAP untuk dipimpin dari kalangan kaum lain kerana ia sudah berlaku sebelum ini.
Menteri Pengangkutan itu berkata, dari segi rekod, DAP Negeri Sembilan pernah dipimpin tokoh Melayu iaitu Yusoff Badur pada awal 80-an walaupun beliau tidak pernah memenangi mana-mana pilihan raya yang di sertainya.
“Saya yakin dan percaya saudara Arul Kumar mampu menggalas tugas dan tanggungjawab dalam kejayaan DAP Negeri Sembilan untuk memberi khidmat terbaik kepada rakyat,” katanya.
Sementara itu Arul berkata, beliau akan berusaha untuk menggalas tanggungjawab diamanahkan dengan baik.
“Tanggungjawab selepas ini mencabar selepas kita menang sembilan kerusi dalam PRN lalu. Fokus kita untuk terus beri khidmat terbaik kepada rakyat sebaik mungkin walaupun bukan berada dalam kerajaan negeri,” katanya.
Pada Pilihan Raya Umum Dewan Negeri (PRU DN) Negeri Sembilan yang lalu, Loke tewas kepada calon Barisan Nasional (BN) Siow Kong Choon di DUN Chennah dengan majoriti 688 undi.
Nnn
