PKP 3.0 : Indikator tidak izinkan peralihan

HARI ini akan diketahui sama ada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang tamat esok, 28 Jun dilanjutkan atau sebaliknya. Semalam sudah tular satu kenyataan palsu berkaitan lanjutan PKP 3.0 selama dua minggu lagi.

Walaupun palsu, jika ia satu kebenaran hari ini, maka ia bukanlah satu kejutan. Cuma apakah akan ada ‘kelonggaran tertentu’ sekiranya lanjutan itu dibuat bagi memutuskan rantaian Covid-19.

Di atas kertas, PKP 3.0 sudah kelihatan akan dilanjutkan walaupun kerajaan menyedari reaksi berkaitan ‘ekonomi’ rakyat yang terjejas. Memang satu keputusan yang sukar untuk dilakukan – antara kesihatan dan ekonomi.

Negara kita kehilangan RM1 bilion ringgit sehari sepanjang PKP dilaksanakan pada masa ini dan pada masa sama, semakin banyak kes dan kematian dilaporkan dengan kemudahan atau keupayaan hospital terpaksa dipertingkatkan.

Di negara-negara lain pun tidak semua ‘bebas’, masih ada sekatan di sana sini, perintah berkurung, penutupan sektor tertentu dan sebagainya. Situasi makin cemas apabila varian Delta semakin mengganas.

Justeru kemungkinan menyambung PKP 3.0 tetap ada, cuma sama ada kaedah serta SOP masih sama atau sebaliknya. Sama ada akan ada yang ‘longgar’ di sana sini atas desakan pelbagai pihak.

Cuba selak kembali kenapa PKP secara menyeluruh dilaksanakan.

Fasa Pertama dilaksanakan setelah mengambil kira penularan kes Covid-19 dalam komuniti, kewujudan varian-varian baharu yang lebih ganas dengan kadar kebolehjangkitan tinggi yang mengancam keupayaan sistem kesihatan awam.

Di bawah strategi Pelan Pemulihan Negara, ia merangkumi empat fasa dan akan melibatkan pelan peralihan fasa PKP secara berperingkat.

Setiap fasa pelan pemulihan ini berpaksikan kepada data yang bersandarkan tiga indikator ambang utama ataupun threshold untuk beralih dari satu fasa ke fasa seterusnya.

Indikator Pertama ialah keadaan penularan Covid-19 dalam komuniti berdasarkan bilangan kes jangkitan harian;

Indikator Kedua ialah keupayaan sistem kesihatan awam berdasarkan kadar penggunaan katil di Wad ICU; dan

Indikator Ketiganya ialah tahap populasi yang dilindungi berdasarkan peratusan yang telah lengkap menerima dua dos suntikan vaksin.

Fasa Pertama iaitu pelaksanaan PKP Menyeluruh yang sedang dilaksanakan sekarang adalah dalam keadaan bilangan kes Covid-19 tinggi, sistem kesihatan awam di tahap kritikal dan kadar pencapaian vaksinasi yang masih rendah.

Kerajaan akan menimbang peralihan daripada fasa pertama kepada fasa kedua PKP setelah:

● Purata kes harian Covid-19 menurun di bawah 4,000 kes;

● Sistem kesihatan awam tidak lagi berada di peringkat kritikal termasuk kadar penggunaan katil di ICU pulih ke paras sederhana; dan

● 10 peratus populasi telah menerima 2 dos suntikan vaksin.

Fasa Kedua merupakan kesinambungan daripada Fasa Pertama dengan aktiviti sosial dan kawalan pergerakan terus dikawal dengan ketat. Semasa Fasa Kedua:

● Aktiviti ekonomi akan dibuka secara berperingkat dengan membenarkan kapasiti pekerja sehingga 80% di premis;

● Pendekatan senarai positif diteruskan iaitu hanya sektor yang tersenarai dibenarkan beroperasi manakala yang tidak tersenarai masih ditutup. Senarai positif daripada Fasa 1 akan juga diperluaskan semasa Fasa 2 dengan menambahkan beberapa sektor; dan

● Aktiviti sosial dan rentas negeri masih tidak dibenarkan.

Melihat faktor atau indikator di atas, kita dapat menjangka apakah keputusannya. Adakah akan berlaku peralihan kepada fasa kedua?

Melihat kes yang dilaporkan dalam tempoh seminggu yang lalu, hanya sekali mencatatkan angka 4,000 sementara yang lain mencecah 5,000.

Bermula 19 Jun kes positif yang direkodkan adalah 5,911 diikuti 5,293 (20/06), 4,611 (21/06), 4,743 (22/06), 5,244 (23/06), 5,841 (24/06), 5,812 (25/06) dan 5,803 (26/06).

Justeru jika purata kes harian diambil kira dan indikator peralihan diberi keutamaan, maka tidak memungkinkan negara beralih ke fasa dua. Kecuali kerajaan membuat keputusan sebaliknya – tidak konsisten selepas ‘diasak dan didesak’ yang akhirnya bak kata lagu dendangan Jamal Abdillah :

Wal hasil balik asal, Wal asal balik hasil

Wal hasil cari pasal, Itu pasal tak hasil

Related posts

Leave a Comment