Jadikan PRN Johor kebangkitan BN

ISKANDAR PUTERI – Johor perlu menjadi titik permulaan kepada usaha mengukuhkan semula pengaruh Barisan Nasional (BN) di peringkat nasional sekali gus membuktikan BN masih menjadi sandaran utama rakyat dalam menjamin kestabilan politik dan pembangunan negara.

Pengerusi BN, Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor perlu dilihat sebagai medan kebangkitan semula parti itu apabila kemenangan di negeri berkenaan bakal menjadi pemangkin kepada kembalinya ‘Gelombang Biru’ di seluruh negara.

“PRN Johor adalah tapak penentuan yang sebenar. Dari Johor kita susun kekuatan, dari Johor kita nyalakan semula obor perjuangan dan dari Johor kita buktikan bahawa Gelombang Biru kembali semula.

“Kita mahu menghantar isyarat jelas kepada seluruh negara bahawa BN masih relevan, masih kukuh dan terus menjadi sandaran rakyat,” katanya berucap merasmikan Pelancaran Jentera Pilihan Raya BN Johor di Stadium Tertutup Kompleks Educity, di sini hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri, berkata, rakyat Johor perlu memilih antara kestabilan yang dibawa BN atau ketidaktentuan yang ditawarkan pihak lawan.

Rekod pentadbiran kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar,  Onn Hafiz Ghazi membuktikan BN mampu menyediakan peluang pekerjaan, perumahan dan masa depan yang lebih baik kepada rakyat.

Bangsa Johor boleh belajar di Johor, bekerja di Johor, memiliki rumah di Johor dan membina keluarga di Johor. Itu hasil usaha yang sedang dilakukan kerajaan negeri hari ini.

“Johor mesti menjadi negeri contoh yang bukan sahaja menarik pelaburan, tetapi memastikan manfaat pembangunan dirasai seluruh rakyat,” katanya.

Ahmad Zahid turut mengingatkan seluruh jentera parti supaya tidak leka dengan serangan fitnah yang disebarkan menerusi media sosial menjelang PRN.

Menurutnya, fitnah politik masa kini hadir dalam bentuk video pendek, poster palsu dan akaun tanpa nama yang bertujuan merosakkan keyakinan rakyat terhadap BN.

Beliau juga menyeru seluruh parti komponen BN termasuk UMNO, MCA, MIC dan Parti Progresif Penduduk Malaysia (PPP) supaya bergerak sebagai satu pasukan bagi memastikan kemenangan besar pada PRN kali ini.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment