Noh Omar kembali ke pangkuan UMNO

ISKANDAR PUTERI – Bekas Ahli Majlis Tertinggi Bersatu, Noh Omar hari ini mengumumkan penyertaan semula ke dalam UMNO dan Barisan Nasional (BN) melalui Rumah Bangsa.

Tindakan itu dilakukan selepas beliau melepaskan semua jawatan dan keahliannya dalam Bersatu berkuat kuasa serta-merta.

“Saya amat menghormati prinsip UMNO dan BN di negeri ini, apatah lagi selepas mendengar ucapan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi. Disebabkan itulah saya bersetuju kembali dengan BN menjelang PRN Johor ini.

“Saya juga yakin, Insya-ALLAH dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16 nanti, UMNO akan mempunyai prinsip yang sama, tidak akan bersama dengan DAP,” katanya kepada selepas Majlis Pelancaran Jentera Barisan Nasional Negeri Johor di Stadium Tertutup Kompleks EduCity di sini pada Ahad.

Turut hadir dua bekas pemimpin UMNO iaitu Hishammuddin Hussein dan Syed Hamid Albar.

Noh bekas Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor, bersama bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin dipecat daripada UMNO pada 2023 disebabkan pelanggaran disiplin parti mengikut Perlembagaan UMNO kerana kesalahan semasa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Manakala Hishammuddin, bekas Ahli Parlimen Sembrong,  Maulizan Bujang, Mohd Salim Sharif dan Shahril Sufian Hamdan digantung hak-haknya dalam parti selama enam tahun.

Sementara itu, Noh memberitahu keputusan keluar daripada Bersatu dibuat kerana mendapati parti pimpinan Muhyiddin Yassin berkenaan tidak menghormati prinsip dan keputusan ditetapkan Majlis Tertinggi parti.

“Saya memang sudah letak jawatan dan keluar Bersatu, jadi saya ingat tidak perlu tulis surat, saya dah isytihar perkara itu jadi secara automatik saya sudah keluar,” katanya.

Pada masa sama, beliau turut berharap UMNO akan menjalinkan kembali kerjasama dengan Pas sekali gus menyatukan masyarakat Melayu di negara ini.

“Saya juga berharap UMNO akan dapat bekerjasama dengan Pas yang akan dapat menyatukan lagi kekuatan perpaduan Melayu. Saya yakin kalau UMNO dengan Pas boleh bersama, mereka boleh tubuhkan kerajaan tanpa perlukan bantuan daripada parti-parti lain,” katanya.

Nnn

Related posts

Leave a Comment