PH minta PM jangan berlengah

KUALA LUMPUR 17 Jun – Buka Parlimen secepat mungkin atau undur diri. Itu tajuk kenyataan media Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) yang menggesa Perdana Menteri menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Mustafa Billah Shah supaya mengadakan sidang Parlimen secepat mungkin.

“Sekiranya Perdana Menteri terus berlengah atau memberi alasan untuk melewatkan sidang Parlimen, ia bukan sahaja bermaksud beliau telah mengetepikan pandangan Tuanku itu, malah ia memberi gambaran bahawa Perdana Menteri telah hilang keyakinan untuk terus mentadbir,” kata kenyataan itu.

Dalam kenyataan bersama, Presiden PKR Anwar Ibrahim, Presiden Parti Amanah Negara Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata, Perdana Menteri perlu menjunjung titah dan menasihati Tuanku untuk memanggil sidang Parlimen secepat mungkin.

“Jika Perdana Menteri tetap bertegas enggan menasihati Yang di-Pertuan Agong segera, beliau harus mengambil tindakan terhormat dengan mengundurkan diri,” kata pemimoin PH itu.

Menurut PH, amatlah penting Parlimen dibuka semula agar semak imbang tata kelola dan perjalanan pentadbiran Putrajaya dapat dilakukan, Ordinan-Ordinan Darurat serta Pelan Pemulihan Negara dapat dibahas, peruntukan perbelanjaan Kerajaan bagi membantu rakyat dapat dibincang dan suara rintihan isi hati rakyat dapat didengar dengan jelas.

Related posts

Leave a Comment