UMNO junjung kasih

KUALA LUMPUR 17 Jun – UMNO menjunjung kasih dan menyokong penuh titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang menzahirkan pandangan bahawa persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin.

Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi berkata, titah itu jelas menzahirkan kebijaksanaan dan keprihatinan Seri Paduka Baginda dan Raja-Raja Melayu terhadap keresahan dan kegelisahan rakyat berdepan pelbagai krisis yang melanda.

“Saya amat menghargai kecaknaan Seri Paduka Baginda yang mengambil kira segala isu dan pendirian parti yang dipersembahkan ketika sesi mengadap pada 11 Jun lalu,” kata Ahmad Zahid dalam satu kenyataan.

Menurut Ahmad Zahid, semasa sesi menghadap, beliau menjelaskan bahawa Parlimen harus dibenarkan berperanan sebagai platform rasmi menyuarakan pelbagai suara hati rakyat yang sedang dalam kesempitan seperti tuntutan Moratorium automatik secara pukal, kawalan harga barang, i-Sinar 2.0, i-Lestari 2.0 dan pelbagai bantuan khas sekaligus memulihkan semula ekonomi negara.

UMNO turut mempersembahkan pendirian bahawa Darurat tidak diteruskan selepas 1 Ogos 2021 kerana kemudaratannya lebih besar kepada negara, sedangkan tanpa Darurat Kerajaan masih boleh menguruskan isu-isu berkaitan pandemik Covid-19.

Di samping itu, UMNO juga mendokong dan memandang serius saranan Seri Paduka Baginda akan keperluan mewujudkan sebuah Kerajaan yang stabil dan kukuh serta berupaya berfungsi dengan efektif dalam menangani Covid-19 dan memulihkan ekonomi negara.

Related posts

Leave a Comment