Hubungan Singapura – Brunei diperkukuh

SINGAPURA 24 Ogos – Hubungan Singapura dan Brunei Darussalam diperkukuh dengan termeterainya empat memorandum persefahaman (MoU) semalam sempena kunjungan kunjungan rasmi Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah, ke Singapura.

Presiden Halimah Yacob berkata, MoU itu merupakan kerjasama penting dalam bidang-bidang strategik baharu yang meliputi ekonomi hijau dan bekalan, serta kerjasama pelaburan dan dagangan dalam produk makanan dan perubatan.

Halimah berkata, hubungan di antara Negara Brunei Darussalam dan Republik Singapura disokong oleh kerjasama yang terjalin sekian lama dalam pelbagai bidang termasuk pertahanan dan ekonomi.

Beliau berkata demikian pada majlis jamuan negara di Istana yang diadakan bagi Sultan Hassanal Bolkiah semalam.

Halimah turut merakamkan penghargaan kepada Brunei Darussalam sebagai Pengerusi ASEAN pada tahun 2021 ke arah membina rantau yang lebih berdaya tahan, mengetengahkan rakyat, inklusif dan maju hadapan, terutamanya semasa pandemik Covid-19.

Sementara itu Sultan Hassanal Bolkiah dalam titah baginda memperakui pentingnya bagi Brunei Darussalam dan Republik Singapura sebagai dua negara yang sederhana di rantau ini untuk terus bekerjasama rapat ke arah kemakmuran serta kedayatahanan berterusan.

 Baginda turut mengalu-ngalukan empat MoU yang ditandatangani dan menyatakan harapan untuk mengukuhkan lagi hubungan unik dan istimewa di antara kedua-dua buah negara.

 Pada masa yang sama baginda menzahirkan penghargaan kepada Republik Singapura atas peranannya sebagai rakan serantau dan sahabat serta sokongan berterusan negara tersebut kepada Negara Brunei Darussalam.

Related posts

Leave a Comment