Zambry Setiausaha Agung BN

KUALA LUMPUR 9 Jun – Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) melantik bekas Menteri Besar Perak Dr. Zambry Abdul Kadir sebagai Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) yang baharu.

Perkara itu dimaklumkan oleh Pengerusinya Ahmad Zahid Hamidi melalui kenyataan media malam tadi, susulan mesyuarat secara maya, yang dihadiri kesemua empat parti komponen – UMNO, MCA, MIC, dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS).

Mesyuarat juga sebulat suara bersetuju Azlan Man (Menteri Besar Perlis) sebagai Pengerusi Jawatankuasa Penyelarasan BN Perlis yang baharu.

Pada 5 Januari lepas, Setiausaha Agung UMNO Ahmad Maslan memberitahu media beliau telah dipilih Ahmad Zahid sebagai Setiausaha Agung BN yang baharu, menggantikan Annuar Musa.

Bagaimanapun, pada bulan Mac, beberapa pemimpin kanan BN terutamanya dari MCA dan MIC, mendakwa pelantikan itu tidak sah kerana ia perlu mendapatkan persetujuan bersama Dewan Tertinggi terlebih dahulu.

Laporan media sebelum ini menyebut Annuar digantikan selepas Ahli Parlimen Ketereh itu dilihat tidak sealiran dengan konsep dan gerak kerja politik yang dibawa oleh majoriti pemimpin dalam UMNO, termasuk Ahmad Zahid sendiri.

Sementara itu, dalam kenyataan yang sama, Ahmad Zahid berkata, Dewan Tertinggi BN juga memutuskan untuk menambah kekuatan jentera parti di peringkat negeri bagi membantu usaha pendaftaran vaksin, khususnya bagi warga emas, orang kurang upaya, dan mereka yang tinggal di kawasan pendalaman.

Selain itu, beliau berkata, Dewan Tertinggi BN juga menyeru semua pihak untuk mematuhi prosedur operasi standard bagi mengawal penularan Covid-19.

Related posts

Leave a Comment