SEPANG 20 Okt. – Pas kecewa dengan keputusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) membatalkan pendaftaran Perikatan Nasional (PN), dua hari sebelum Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dijadual mendengar permohonan semakan kehakiman bagi mencabar tindakan jabatan berkenaan.
Timbalan Presiden Pas, Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata masa keputusan itu dibuat menimbulkan persoalan, lebih-lebih lagi ketika permohonan semakan kehakiman itu dijadual didengar pada Khamis, 22 Oktober ini.
“Pas melahirkan rasa kecewa terhadap tindakan RoS memandangkan hanya tinggal dua hari sebelum mahkamah mendengar semakan kehakiman berhubung sekatan yang dikenakan RoS.
“Ini jelas mencerminkan ketakutan kerajaan Madani terhadap PN, khususnya dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Pilihan Raya Umum akan datang,” katanya seperti dilaporkan BHOnline.
Tuan Ibrahim yang juga Timbalan Pengerusi PN, berkata Pas bersama parti komponen gabungan itu akan mengadakan mesyuarat tergempar dalam masa terdekat bagi membincangkan implikasi keputusan berkenaan serta menentukan tindakan selanjutnya.
Perkara ini memerlukan pertimbangan serius kerana PN terdiri daripada beberapa parti komponen yang juga sebahagian daripada kerajaan negeri.
“Isu ini perlu dilihat secara menyeluruh kerana ia boleh membawa implikasi besar terhadap mana-mana gabungan politik pada masa depan,” katanya.
