Muhyiddin ketuai Bersatu tawan Putrajaya

SHAH ALAM 30 Nov. – Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Muhyiddin Yassin akan terus kekal mengetuai parti berkenaan sehingga berjaya menawan Putrajaya pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Beliau yang menegaskan demikian ketika menyampaikan ucapan dasar pada Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu kali ke-7 berkata, banyak kerja dan tugas besar yang perlu dilakukan parti sebagai persediaan menghadapi pilihan raya.

“Saya berikrar untuk membawa mandat ahli-ahli Bersatu dan akar umbi yang diterima sebulat suara dalam Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) 2023 untuk saya meneruskan tanggungjawab sebagai Presiden sehingga berjaya bertapak semula di Putrajaya dalam PRU16, insya-ALLAH.

Oleh itu, jangan kita diadu domba, dilaga-laga dan dicucuk sana sini, kononnya ada kem itu dan ini. Ada kumpulan itu dan kumpulan ini yang akan melemah dan memecahkan kita. Ini semua karut,” katanya.

Muhyiddin pada masa sama menegaskan bahawa beliau mahu memimpin parti berkenaan kerana ia kini menjadi harapan rakyat dan bangsa.

Ahli Parlimen Pagoh itu turut mendakwa parti komponen di bawah Kerajaan Perpaduan tidak boleh diharap untuk menjulang perjuangan agama, bangsa dan negara.

“Walaupun mereka tidur sebantal, mimpinya lain-lain,” ujarnya.

Dalam pada itu, Muhyiddin memberi jaminan kepada kaum Cina, India dan lain-lain bahawa hak kumpulan berkenaan kekal terpelihara jika Bersatu berjaya membentuk kerajaan.

Jelas beliau, hak kaum berkenaan akan terus dipertahankan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Menurutnya, sebagai sebuah parti yang mendokong semangat nasionalisme baharu untuk Malaysia, Bersatu tidak boleh bergantung kepada sokongan orang Melayu dan bumiputera membentuk kerajaan.

“Lihat rekod prestasi kami semasa menjadi kerajaan. Tidak ada seurat benang pun hak kaum bukan Melayu dirampas atau diketepikan, malah semua bantuan semasa pandemik Covid-19 diberikan kepada semua rakyat tanpa mengira kaum dan agama.

“Saya dan anggota Kabinet kerajaan Perikatan Nasional (PN) pada waktu itu tidak melihat kepada warna kulit atau kepercayaan agama untuk menyampaikan bantuan. Saya tidak pernah tanya awak Melayu ke Cina ke, India ke sebelum beri bantuan,” jelasnya.

Nnn

Related posts

Leave a Comment