SEPANG 20 Okt. – Keputusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) membatalkan pendaftaran Perikatan Nasional (PN) membuktikan parti Bersatu berada di pihak yang benar untuk menyelamatkan gabungan itu.
Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, punca keputusan RoS itu kerana tindakan kepemimpinan PN yang dipengerusikan Pas menafikan hak Bersatu dalam mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) PN pada 16 Julai lalu.
“Ia antara pelanggaran perlembagaan yang membawa kepada pembatalan pendaftaran PN,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, keputusan RoS itu juga membuktikan alasan dan keterangan diberikan Pas ketika siasatan adalah tidak berasas serta tidak memenuhi kehendak undang-undang dan Perlembagaan PN.
Beliau berkata, tindakan menafikan hak Bersatu untuk menghadiri, memberikan pendapat dan mengundi dalam mesyuarat MT adalah pelanggaran serius Fasal 7.1 Perlembagaan PN yang boleh menjejaskan masa depan gabungan berkenaan, selain memperlihatkan kelemahan dalam amalan tadbir urus dan pengurusan organisasi.
Mohamed Azmin turut mendakwa kepemimpinan PN mengetepikan amalan tadbir urus yang baik dan telus sehingga mewujudkan tekanan terhadap Bersatu, termasuk dakwaan cubaan menggugurkan Bersatu sebagai anggota gabungan melalui kuasa veto individu bukan pemegang jawatan dalam MT PN.
Katanya, Bersatu membuat aduan kepada RoS pada 11 Ogos lalu bagi memastikan PN ditadbir berlandaskan prinsip kebertanggungjawaban, ketelusan dan integriti serta mematuhi undang-undang dan perlembagaannya.
“Bersatu dipanggil memberi keterangan kepada RoS pada 18 Ogos 2026. Bersatu tuntas memberikan penjelasan berfakta dan bukti-bukti yang menunjukkan bahawa kepemimpinan PN telah menafikan hak Bersatu seperti dijamin oleh Perlembagaan PN, seterusnya melanggar peruntukan dalam Akta Pertubuhan,” katanya.
Mohamed Azmin berkata, walaupun keputusan RoS itu sukar diterima kerana Bersatu antara parti pengasas PN, pihaknya menerima bahawa gabungan itu perlu melaksanakan tanggungjawab mengikut perlembagaan dan undang-undang bagi memastikan tadbir urusnya teratur serta sah.
Bersatu katanya akan meneliti keputusan penuh RoS sebelum membincangkan langkah seterusnya dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi parti.
“Langkah-langkah seterusnya bagi membina semula keyakinan rakyat kepada sebuah gabungan parti politik yang sederhana, membawa politik nilai dan membina gagasan baharu demi Malaysia yang sejahtera untuk semua rakyat Malaysia,” katanya.
Nnnn
