KUALA TERENGGANU 20 Okt. – “Satu tindakan luar biasa. Memang luar biasa, yang boleh jadi luar tabii,” demikian reaksi Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berhubung pembatalan pendaftaran gabungan itu.
Beliau mempersoalkan masa tindakan pembatalan pendaftaran PN oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS), menjelang kes berkaitan dibawa ke mahkamah, pada Khamis ini.
Menteri Besar Terengganu itu berkata, timbul persoalan mengenai motif di sebalik tindakan yang berlaku sehari sebelum kes dibawa ke mahkamah, selain dibuat menjelang pengisytiharan calon Pilihan Raya Umum Dewan Negeri (PRU DN) Melaka.
“Apa yang berlaku sehari sebelum kes dibawa ke mahkamah adalah satu tindakan luar biasa…memang luar biasa, yang boleh jadi luar tabii.
“Semua tindakan yang selari dengan garis masa sebelum pengisytiharan calon PRN Melaka, dalam keadaan pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) baru dua hari lalu menghantar surat kepada PN untuk memberi respon penggunaan logo ‘PN’ adalah jelas bermotifkan ketakutan kepada gabungan ini,” katanya dalam kenyataan dimuat naik di laman Facebooknya hari ini.
Sebelum itu, notis bertarikh 22 September dikeluarkan kepada PN mengikut Subseksyen 13(2) akta sama bagi memberi peluang gabungan itu mengemukakan penjelasan berhubung perkara dibangkitkan.
RoS memaklumkan alasan dikemukakan tidak memberikan justifikasi kukuh untuk mengekalkan pendaftaran PN, selain menegaskan setiap pertubuhan berdaftar bertanggungjawab mematuhi peruntukan undang-undang serta perlembagaan masing-masing.
Dalam pada itu, Ahmad Samsuri turut mengingatkan tindakan itu tidak akan memadamkan sokongan rakyat terhadap gabungan itu.
“Ingatlah, gelombang rakyat tidak akan mudah padam dengan tindakan orang politik yang berselindung di sebalik kuasa.
“Apatah lagi mana-mana individu politik yang menjadikan ‘usaha pengharaman ini’ sebagai petunjuk prestasi (KPI) untuk bersama pihak yang kami hadapi dalam pilihan raya,” katanya.
(Foto FB PN 13 okt. ketika di mahkamah)
Nnnnn
