KUALA LUMPUR 20 Okt . – Perikatan Nasional (PN) belum memuktamadkan ketetapan berhubung pemilihan logo yang akan digunakan calonnya pada Pilihan Raya Umum Dewan Negeri (PRU DN) Melaka yang penamaan calon berlangsung 31 Oktober ini.
Setiausaha Agungnya, Takiyuddin Hassan, menegaskan masih terlalu awal untuk membuat keputusan berhubung perkara itu, mengambil kira perintah pembatalan pendaftaran hanya dikeluarkan Jabatan Pendaftar Pertubuhan (RoS) hari ini.
Katanya k dalam pilihan raya, calon tidak ada parti juga boleh bertanding sedangkan PN terdiri daripada Pas, Parti Wawasan Negara (Wawasan), Gerakan, Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) dan Pejuang.
“Semua ini adalah parti dan kita boleh saling berbincang untuk gunakan logo apa, sama seperti Pakatan Harapan (PH) pada 2018, menggunakan logo PKR (pada Pilihan Raya Umum Ke-14, PRU14).
Ketika itu, elok sahaja (PH bertanding) guna (logo) PKR, DAP tak bantah, Bersatu dan bang Mat (Presiden Amanah, Datuk Seri Mohamad Sabu) pun tidak membantah (keputusan menggunakan logo PKR).
Ini bukan perkara luar biasa dan masih ada banyak masa sehingga 31 Oktober ini (untuk memutuskan penggunaan logo pada PRN Melaka),” katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.
Dalam pada itu, Takiyuddin yang juga Setiausaha Agung Pas menafikan dakwaan bahawa, beliau dan Pengerusi PN, Ahmad Samsuri Mokhtar adalah punca pendaftaran gabungan itu dibatalkan RoS.
Beliau berkata, perincian mengenai keputusan tidak mengundang Bersatu pada mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi PN pada 16 Julai lalu, yang menjadi alasan pembatalan pendaftaran PN sudahpun dikemukakan kepada RoS.
Selain itu, katanya, amalan PN tidak akan membabitkan mana-mana parti anggota berdepan masalah dalaman, termasuk jika perjawatan parti itu dicabar dan sebagainya, dalam mesyuarat gabungan itu kerana dikhuatiri keputusan dibuat tidak sah.
“MIPP pada Januari lalu, berdepan masalah dalaman kerana tuntutan jawatan dan sebagainya. Saya sebagai Timbalan Setiausaha Agung PN ketika itu, menulis surat menyatakan pembabitan dalam mesyuarat PN ditangguhkan sementara isu dalamannya diselesaikan.
“Ingatkan Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, apabila 13 Julai lalu, empat Ahli Parlimennya iaitu Sabak Bernam, Sungai Besar, Kangar dan Kulim-Bandar Bharu buat aduan mengenai korum mesyuarat MPT mereka kepada RoS.
“Keesokannya, saya utus surat kepada Mohamed Azmin, menyatakan kebimbangan PN mengenai masalah dalaman Bersatu, selain memperingatkan mengenai amalan PN berhubung keadaan sedemikian.
“Kami memberi peluang kepada Bersatu, sama ada menjelaskan keadaan sebenar kepada PN atau mendapatkan penjelasan RoS mengenai aduan terbabit dan tidak akan diundang ke mesyuarat PN sehingga ia diselesaikan,” katanya.
Takiyuddin berkata, keputusan tidak mengundang Bersatu ke mesyuarat MPT PN turut mengambil kira ketetapan parti itu menggunakan logonya untuk bertanding pada PRN Negeri Sembilan, seperti diumumkan Muhyiddin Yassin, pada 15 Julai lalu.
Nnnn
