IMBASAN TULISAN PADA 1 SEPTEMBER 2019
01 SEPTEMBER 2019 : HIJRAH UTUSAN
ALHAMDULILLAH, hari ini, 1 September 2019, Utusan Malaysia genap 52 tahun usia keluarannya. Syukurlah Utusan Malaysia yang diterbitkan mulai 1 September 1967 masih wujud. Ketika tersebar berita akhbar ini bakal ditalkinkan, ramai terutama warga kerja dan mereka yang pernah bersama Utusan gelisah dan kecewa. Mereka tidak boleh menerima Utusan pergi begitu sahaja.
Namun hari ini, Utusan Malaysia terus ‘bernafas’ walaupun ibu kandungnya Utusan Melayu (jawi) yang dilahirkan pada 29 Mei 1939 telah lama pergi meninggalkan kita. Terima kasih kepada rakyat Malaysia yang terus menyokong akhbar-akhbar keluaran Kumpulan Utusan. Diharapkan sokongan ini tidak bersifat sementara atau hangat-hangat tahi ayam. Berilah sokongan berterusan. Itulah sahaja senjata yang dapat menyelamatkan Utusan.
Sokongan berterusan perlu datang dari segenap lapisan masyarakat termasuk daripada pemimpin-pemimpin negara. Sokongan lisan hendaklah disusuli tindakan yang lebih berkesan. Masyarakat boleh membantu sama ada dengan membeli edisi cetak atau digital (e-paper). Sokongan ini amat penting berbanding tindakan lain. Peranan pengiklan juga amat dialu-alukan untuk Utusan menjana pendapatan.
Begitu juga peranan syarikat Utusan dan warga kerjanya sendiri. Peluang yang diberi untuk terus hidup dalam keadaan daif perlu dimanfaatkan. Jangan sia-siakan peluang ini. Sokongan berasaskan nostalgia dan simpati mungkin tidak akan bertahan lama. Justeru, carilah jalan keluar yang terbaik bagi meyakinkan khalayak pembaca tanpa mengira fahaman politik. Elakkan sebarang tindak tanduk yang akhirnya umpama yang dikejar tak dapat yang dikendong berciciran.
Suatu masa dulu, Utusan Malaysia pernah ‘dikuburkan’ oleh parti politik yang amat memarahi Utusan tetapi tindakan itu tidak pernah ‘menguburkan’ semangat warga kerjanya.
Kita tidak pasti selepas ini ke arah mana Utusan akan dibawa. Adakah masih kekal dengan kata-kata Usman Awang “Utusan Melayu; Wajah dan lenggangmu boleh berubah; Suara dan nadamu terkocak gundah; Namun jiwa mu tetap tidak mungkir; Untuk agama bangsa dan tanah air”. Semuanya terserah kepada ‘nakhoda dan anak-anka kapal’ Utusan yang masih ada.
Sempena sambutan Maal Hijrah, 1 Muharam 1441 yang jatuh pada hari ini, berhijrahlah untuk kebaikan dan kelangsungan Utusan. Sokongan masih ada. Cuma bagaimana mencari ramuan terbaik untuk memulihkannya serta meletakkan Utusan kembali seperti kegemilangannya pada masa lalu. Api perjuangan tidak boleh dibiarkan padam.
Selamat ulang tahun kelahiran Utusan Malaysia. Semoga warga kerjanya terus menunjukkan komitmen yang jitu serta yakin dan tabah untuk meneruskan kelangsungan Utusan. Jangan mudah menyerah walaupun dalam mengatur langkah seterusnya dihalang ‘di depan api di belakang duri’.
Semoga seni kata lagu Utusan, Suara Keramat akan terus bergema dan menjadi panduan bersama:
“Utusan suara keramat bangsa; Yang membelah kota desa; Utusan nyalakan semangat merdeka; Tiupkan api cinta manusia; Ranjau dan duri telah dilalui; Tambah yakin diri; Membawa hasrat nusa bangsa; Menyebar fikiran rakyat.
”Zaman ke zaman; Utusan melangkah maju; Suara bangsa dari seluruh negara; Utusan terus maju; Untuk nusa dan bangsa”
Terima kasih Utusan kerana di situ saya pernah bersama selama hampir 35 tahun. Sesungguhnya peluang itu amat bermakna dalam kehidupan saya walaupun pengakhirannya amat melukakan. Namun ‘api ini tidak pernah padam!’
DURI DAN API
Kawan-kawanku yang dikasihi
semalam kita bertemu kembali memadu
ketika matari tersangkut di bumbung Utusan
kita tidak menerima apa yang ada
yang dinyanyikan dari hati berani
dengan tangan erat pada keyakinan terpahat.
Lagu kita telah mulai terpancar
ah, anak-anak manisnya menjenguk keluar
di luar udara basah dalam matari bersinar
semua antara kita lagunya seluruh sedar.
Apakah ini derita diri dalam mimpi
atau kenyataan pahit menjepit
pada lena yang membunuh kehidupan manusia
sama-sama kita rangkul menguji diri.
Kawan-kawanku yang dikasihi
di belakang duri di depan api
kita tidak bisa undur lagi
duri dan api, tajam panasnya kita hadapi.
Semalam dan hari ini kita diukir sejarah
di mana air mata tidak akan menitik tumpah
sebab kebulatan ikrar tak akan berubah
apa saja kita tidak akan menyerah.
– USMAN AWANG