Hari ini dalam sejarah

ANGKA 9 menjadi ‘pembuka dan penutup’ kelahiran dan kematian akhbar Utusan Malaysia, akhbar yang diterbitkan oleh Utusan Melayu (Malaysia) Berhad (UMMB). Catatan ini hanyalah sekadar mengingati sejarah bukan bertujuan meratapi pemergiannya, nanti orang kata bergeraklah ke hadapan, jangan pandang belakang.

Maka saya tidak mahu menulis pasal Utusan Malaysia yang sudah ‘berkubur’ itu. Hanya ulang tulisan lama pada saat ‘kegeringannya’ itu pun saya letak di selak-selak.com sebagai catatan kenangan D’UTUSAN. (Rujuk Selamat Hari Lahir Utusan Malaysia)

Angka 9 yang saya maksudkan adalah Utusan Malaysia dilahirkan pada 1 September 1967 (01.09.1967). Pada 1 September 2019 (01.09.2019) Utusan Malaysia sempat menyambut ulang tahun ke-52 dalam keadaan nazak. Tidak lama kemudian, Utusan Malaysia pada 9 Oktober 2019, (09.10.2019) adalah keluaran terakhir terbitan UMMB.

Dalam tempoh 52 tahun, pelbagai perubahan wajah dan bentuk dilakukan. Pelbagai tema atau motto digunakan. Dari saiz besar kepada kompak atau tabloid.

Jika kelahirannya dialu-alukan dengan Doa Restu Menteri Senu (Menteri Penerangan dan Penyiaran), tetapi pemergiannya tanpa sebarang pengumuman. Tiba-tiba sahaja Utusan Malaysia dan Kosmo! dihentikan penerbitan mulai 10 Oktober 2019. Begitulah berakhirnya kisah Utusan Malaysia terbitan Utusan Melayu. Hari ini jenama Utusan Malaysia bangkit semula di bawah syarikat dan pengurusan baharu iaitu Media Mulia. Selamat Berjaya.

Related posts

Leave a Comment