KUALA LUMPUR 16 April – Hasrat parti komponen Pakatan Harapan (PH) untuk bertanding di mana-mana kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) akan datang tidak wajar dibincangkan secara terbuka, termasuk melalui media.
Ketua Setiausaha PH, Saifuddin Nasution Ismail berkata, perkara itu perlu dibawa ke platform rasmi gabungan menerusi mesyuarat Majlis Presiden PH bagi memastikan proses rundingan antara parti berjalan secara tertib dan harmoni.
“Jika berhajat satu-satu kerusi Parlimen, kita tak sebut dalam surat khabar. Kita bawa dalam mesyuarat Majlis Presiden PH, kita akan bawa di peringkat Sekretariat, malah kita ada Jawatankuasa Perundingan kerusi. Itu tertibnya,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Dokumentasi Inisiatif Mekar Didik dan Program Kaunter Lorong di sini, hari ini.
Saifuddin yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, PH mempunyai mekanisme dalaman yang jelas bagi menguruskan rundingan pembahagian kerusi antara parti komponen.
Katanya, setiap cadangan atau hasrat untuk bertanding di sesuatu kerusi perlu dibincangkan secara rasmi bagi mengelakkan kekeliruan serta memastikan keputusan dibuat secara kolektif.
Semalam, Pengerusi Amanah Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad, berkata parti itu berhasrat untuk bertanding di kerusi Parlimen Putrajaya, Titiwangsa dan Labuan.
Ketika ini, Putrajaya diwakili Bersatu, manakala BN-UMNO menguasai Titiwangsa dan Labuan Bebas (Bersatu).
Terdahulu, Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Pahang Ahmad Farhan Fauzi mengakui beliau telah diamanahkan oleh Presiden PKR Anwar Ibrahim untuk menawan kembali kerusi Parlimen Indera Mahkota pada PRU16.
Ketua Cabang Indera Mahkota itu memaklumkan jumlah anggota PKR di kawasan itu kini mencecah 6,666 orang pertambahan 1,962 anggota baharu, dan menyasarkan keahlian meningkat kepada 10,000 orang sebelum Kongres Nasional PKR bermula.
Dalam pada itu PKR Temerloh sebulat suara meluluskan usul untuk bertanding dan menerajui kawasan Parlimen itu pada PRU16.
Susulan itu, Ketua Amanah Pahang Mohd Fadzli Ramly berkata, walaupun menghormati hak sekutunya untuk membuat usul berkenaan, pihaknya tetap mahu meletakkan calon di Parlimen Temerloh sebagai wakil PH dan kerajaan perpaduan.
