PUTRAJAYA 3 Julai – Hakim Besar Malaya, Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim akan menjalankan kuasa dan tugas jawatan Ketua Hakim Negara sehingga jawatan itu diisi, demikian menurut kenyataan Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan.
Ia adalah selaras Perkara 131A Perlembagaan Persekutuan dan peruntukan Seksyen 9 (1) (b) dan seksyen 9 (3) Akta Mahkamah Kehakiman 1964 [Akta 91].
Menurut kenyataan itu, pelaksanaan tugas itu turut merangkumi fungsi Ketua Hakim Negara di bawah Perlembagaan sehingga jawatan tersebut diisi.
Kenyataan itu berkata, Badan kehakiman Malaysia sentiasa kekal teguh dalam menjalankan tanggungjawabnya sebagai penjaga keadilan dan akan terus berkhidmat dengan penuh dedikasi untuk rakyat dan negara.
Jawatan Ketua Hakim Negara kosong selepas Tun Tengku Maimun Tuan Mat memegang jawatan itu selama enam tahun dengan mencipta sejarah sebagai wanita pertama memegang jawatan tertinggi kehakiman itu, bersara wajib pada Rabu lalu.
Tengku Maimun dilantik sebagai Ketua Hakim Negara berkuat kuasa pada 2 Mei 2019 bagi menggantikan Tan Sri Richard Malanjum.
Sebelum bersara wajib, Tengku Maimun menyempurnakan tugasnya sebagai Ketua Hakim Negara dengan mempengerusikan dua prosiding termasuk rayuan akhir kes bunuh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Anthony Kevin Morais.
Nnnn