Zahid diminta beri penjelasan di Dewan Rakyat

KUALA LUMPUR 5 Nov.  –  Dr Ahmad Zahid Hamidi, diminta memberikan penjelasan di Dewan Rakyat berhubung dakwaan wujud percanggahan kenyataan mengenai projek pembangunan luar bandar yang dikatakan dikorbankan bagi membiayai peruntukan projek lain di bawah Kementerian Luar Bandar dan Wilayah (KKDW).

Dalam satu surat bertarikh 4 November 2026, Yang Dipertua Dewan Rakyat,  Johari Abdul meminta Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Luar Bandar dan Wilayah berbuat demikian selewat-lewatnya pada Khamis depan.

Ia susulan usul yang dikemukakan Ahli Parlimen Kampar, Chong Zhemin, kelmarin, untuk merujuk Ahli Parlimen Bagan Datuk itu ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen di bawah Peraturan Mesyuarat 36(12) kerana dikatakan mengeluarkan kenyataan mengelirukan Dewan.

“Sehubungan itu, dipohon Yang Amat Berhormat dapat memberikan penjelasan terhadap perkara ini dan mengemukakan bukti atau dokumen yang menyokong penjelasan itu, selewat-lewatnya pada Khamis, 12 November 2026,” berdasarkan surat ditandatangani Johari, yang ditunjukkan Zhemin pada sidang media di Parlimen, hari ini.

Zhemin berharap, Ahmad Zahid dapat membuat penjelasan berkenaan dan menarik balik kenyataannya sebelum ini.

“Saya bangkitkan isu ini pada Isnin tapi Menteri tidak ada, jadi Speaker minta saya beri usul bertulis. Jadi saya masukkan usul atas arahan Speaker. Kes ini sudah mengambil banyak hari dan saya rasa, kita sudah semakin jelas mengenai apa yang berlaku,” katanya.

Ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2027 peringkat jawatankuasa di Dewan Rakyat, Isnin lalu, Zhemin mendakwa berlaku percanggahan kenyataan antara Ahmad Zahid dan Menteri Kewangan II, Amir Hamzah Azizan, berhubung projek pembangunan luar bandar yang dikatakan dikorbankan bagi membiayai peruntukan projek lain.

Zhemin berkata, ketika sesi penggulungan KKDW pada 26 Oktober lalu, beliau bertanya kepada Ahmad Zahid mengenai projek yang dikorbankan jika Notis Perubahan (NOC) digunakan bagi mendapatkan dana dan Ahmad Zahid ketika itu menjawab tiada sebarang projek dikorbankan.

Bagaimanapun, Zhemin mendakwa, jawapan itu bercanggah dengan kenyataan Amir Hamzah ketika sesi penggulungan Kementerian Kewangan, Khamis lalu, yang menjelaskan tatacara pengurusan kewangan membolehkan pengagihan semula dibuat menerusi NOC bagi memenuhi keperluan projek, namun penambahan peruntukan bagi Program Jalan Luar Bandar (JALB) menyebabkan pengurangan peruntukan kepada program lain.

Justeru Zhemin mendakwa, jawapan Amir Hamzah jelas menunjukkan ada projek yang dikorbankan.

Nnn

Related posts

Leave a Comment