PUTRAJAYA: Mulai 7 September, kerajaan mengenakan sekatan kemasukan pemegang Pas Jangka Masa Panjang dari India, Indonesia dan Filipina, kata Menteri Kanan Pertahanan, Ismail Sabri Yaakob.
Keputusan itu dibuat pada Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan PKP pada Selasa setelah mengambil kira peningkatan kes yang mendadak di negara-negara terbabit.
Sekatan kemasukan ini merangkumi:
o Penduduk Tetap (PR)
o Pas Program Malaysia My Second Home (MM2H)
o Ekspatriat semua kategori termasuk Profesional Visit Pass (PLIK)
o Pas Residen
o Pasangan kepada Warganegara Malaysia (Spouse Visa)
o Pelajar Warganegara Berkenaan
“Sekatan ini merangkumi yang pertama, penduduk tetap iaitu warganegara asing yang lama duduk sini mendapat PR balik ke negara mereka dan nak balik sini, kita tidak benarkan:” katanya.
Begitu juga pemegang pas Malaysia My Second Home, Ekspatriat semua kategori temasuk Profesional Visit Pass, pasangan kepada warganegara Malaysia serta anak-anak mereka dan pelajar dari India, Indonesia dan Filipina yang mahu kembali ke sini.
Katanya, kerajaan membuat keputusan tersebut atas nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi mengekang penularan dalam negara oleh kes-kes import Covid-19.
Walaubagaimanapun bagi negara-negara lain, kerajaan masih membuat kajian sebelum membuat keputusan termasuk negara yang bakal mengalami musim sejuk.