Singapura catat 41 kes baharu

SINGAPURA 20 Mei – Singapura setakat pukul 12 tengah hari ini melaporkan 41 kes baharu Covid-19 yang merangkumi 27 kes dalam kalangan masyarakat dan 14 kes import yang membawa kepada jumlah keseluruhan 61,730 kes.

Daripada jumlah itu, 21 kes ada kaitan dengan kes-kes sebelum ini manakala enam lagi tiada kaitan dengan mana-mana kes.

Menurut Kementerian Kesihatan (MoH) hari ini, tiada kes dilaporkan di asrama pekerja asing.

Manakala daripada 14 kes import yang semuanya diberikan notis jangan keluar rumah – 10 adalah rakyat atau penduduk tetap Singapura yang pulang dari India dan Indonesia sementara empat lagi ketibaan dari Jerman, Sri Lanka, Nepal dan Filipina.

Sementara itu enam kes jangkitan Covid-19 baharu dalam masyarakat yang dikenal pasti tiada kaitan dengan kes sebelum ini turut melibatkan dua warganegara Malaysia dan tiga yang sudah menerima suntikan vaksin.

Dua warganegara Malaysia itu adalah wanita berusia 54 tahun yang bertugas di Seagate Singapore International Headquarters Pte Ltd. Beliau menerima suntikan vaksin pertama pada 16 April disusuli dengan suntikan kedua pada 9 Mei.

Seorang lagi, remaja perempuan warga Malaysia berusia 19 tahun yang menuntut di Politeknik Singapura (SP) dan kali terakhir ke sekolah pada 15 Mei.

Dua lagi kes positif yang sebelum ini mendapat suntikan adalah seorang wanita berusia 59 tahun yang bertugas di Mary Fashion and Trading yang menerima suntikan pertama vaksin Covid-19 pada 21 Mac dan suntikan kedua pada 11 April.

Ini diikuti, lelaki Singapura berusia 69 tahun, pekerja pembersihan di syarikat Weishen Industrial Services Pte Ltd. yang menerima suntikan pertama vaksin Covid-19 pada 16 Mac disusuli suntikan kedua pada 6 April. 

Turut tersenarai, wanita Penduduk Tetap Singapura berusia 49 tahun yang merupakan suri rumah, lelaki Singapura berusia 41 tahun yang bertugas sebagai pegawai khidmat pelanggan di Times Bookstore.

Related posts

Leave a Comment