Akses sistam kawalan pasport automatik

BANGKOK – Bagi mempercepat proses imigresen, mengurangkan kesesakan barisan serta melancarkan aliran trafik di lapangan terbang, Thailand memperluas akses kepada sistem kawalan pasport automatik kepada pelancong dari 33 negara.

Senarai 33 negara dan wilayah itu termasuk Korea Selatan, Singapura, Jepun, Hong Kong, Malaysia, Australia, New Zealand, Kanada, Emiriah Arab Bersatu (UAE) serta 24 negara Eropah termasuk Britain, Perancis, German dan Itali.

Pesuruhjaya Biro Imigresen Thailand, Leftenan Jeneral Pol Nopasilp Poonsawat berkata, inisiatif itu merangkumi pemegang pasport pengecualian visa dan visa elektronik berkuat kuasa menerusi Perintah Biro Imigresen yang dikeluarkan pada 24 Ogos lalu.

Kemudahan itu sudah mula beroperasi di Lapangan Terbang Suvarnabhumi dan bakal diperluas ke Lapangan Terbang Don Mueang serta Phuket, iaitu penumpang yang layak akan menerima pemberitahuan melalui e-mel selepas melengkapkan pendaftaran Kad Ketibaan Digital Thailand.

Sejak mula diperkenal pada 18 September lalu, purata penggunaan harian sistem automasi itu menunjukkan peningkatan ketara daripada 744 kepada 2,125 penumpang.

Antara 18 September hingga 31 Oktober sebanyak 94,760 pengembara asing memanfaatkan kemudahan berkenaan dengan pelancong dari Singapura mencatatkan jumlah tertinggi seramai 21,684 orang diikuti pelancong dari Hong Kong (14,259), Korea Selatan (9,615), Jepun (9,538) dan Malaysia (6,943).

Related posts

Leave a Comment