Selamat kembali Mingguan Malaysia

TAHNIAH kepada rakan-rakan yang terpilih menerbitkan semula akhbar Mingguan Malaysia (MM). Keluaran sulung terbitan Media Mulia Sdn.Bhd. (MM) selepas keluaran terakhir oleh Utusan Melayu (Malaysia) Berhad (UM).

MM dilahirkan pada 30 Ogos 1964. Akhbar yang sering dinobatkan sebagai Akhbar No. 1 negara ini pernah mencatatkan rekod cetak dan jualan tertinggi.

Adakah MM (baharu) mampu mengulangi kegemilangan MM lama? Dengan situasi yang ada pada hari ini, tidak keterlaluan jika dikatakan hasrat itu sukar dicapai lebih-lebih lagi ketika maklumat sentiasa di hujung jari dan budaya membaca yang suram.

Apa pun jika kena dengan ramuannya, MM akan terus mendapat perhatian pembaca.

Akhbar MM suatu masa dulu popular dengan sisipan Pancaindera dan Kesihatan serta Bisik-Bisik Mingguan, iaitu pojok Awang Selamat. Pernah juga dinamakan Lanang Sejagat Awang Sulung. Pernah juga Awang ‘membawa’ diri.

Begitu juga dengan Wawancara, salah satu kekuatan MM. Sebagai anggota editorial di MM suatu masa dulu, saya juga pernah mengendalikan ruangan ini bersama rakan-rakan lain. Wawancara ini menjadi bahan yang dinantikan.

Masih teringat wawancara dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Naib Presiden UMNO yang bercakap mengenai keperluan perubahan kepemimpinan pada masa itu. Beliau bercakap pelbagai isu mengenai UMNO dan juga kerajaan.

Beliau berterus terang dalam wawancara itu dan berpesan kepada saya dan rakan Zulkiflee Bakar “tulislah apa yang saya cakap”. Maksudnya ada beberapa perkara yang agak keras dan beliau dapat menjangka tidak akan disiarkan.

Mungkin itu kebimbangannya dan kami juga bimbang. Berhati-hati wawancara itu dibuat. Interviu pagi di kediamannya, dan selepas siap bertemu lagi bagi semakan supaya apa yang bakal disiar tidak menimbulkan ‘masalah’.Maklumlah.

Menyelak kembali MM,  akhbar bersaiz ‘besar’ itu bertukar menjadi akhbar kompak pada 16 September 2018 sehinggalah penerbitan terakhirnya pada 6 Oktober 2019.  Maknanya tidak sampai 13 bulan usia akhbar kompak itu.

Mungkin siang tadi, para pembaca telah melihat dan membaca keluaran sulung MM terbitan MM itu. Pastinya ada perbezaan kerana pemikiran baharu tidak sama dengan pemikiran lama. Jika dulu penerbit MM adalah UM kini MM diterbitkan MM. Perlu ada perbezaan.

Apa pun, semoga pemikiran baharu dapat membantu MM baharu mencari arah baharu yang lebih jelas. Mungkin ada ‘kesilapan’ di sana sini pada masa lalu, sama ada secara sengaja atau tidak tetapi MM tetap diterima ramai.

Walaupun MM hari ini bukan lagi MM dahulu tetapi namanya tetap MM. Sesiapa sahaja berhak memberi komen terhadap kisah silam tetapi yang lebih penting kisah yang ada di hadapan. Yang lepas sudah berlalu, tiada kena mengena dengan yang ada hari ini. Hanya namanya yang sama.

Samalah seperti UMNO, yang asal sudah mati tetapi yang lahir semula, namanya tetap UMNO. Yang berubah hanya orang yang mengendalikannya dan pengendali inilah yang harus bertanggungjawab mencari hala tuju baharu.

Selamat maju jaya MM.

Related posts

Leave a Comment