Kes di Indonesia 98,778

INDONESIA mencatatkan 1,492.kes baharu Covid-19 dalam tempoh 24 jam menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 98,778 kes.

Data terkini yang disiarkan di laman sesawang rasmi pemerintah Indonesia www.covid19.go.id hari ini menunjukkan sebanyak 55,647 pesakit masih dalam pemantauan Covid-19.

Bagi tempoh 12 tengah hari semalam sehingga 12 tengah hari ini, sebanyak 67 lagi kematian direkodkan, menjadikan jumlah keseluruhan kematian 4,781 orang.

Jawa Timur mencatatkan kes positif dan kematian keseluruhan tertinggi iaitu 20,539 kes dan 1,589 kematian.

Jakarta pula mencatatkan 19,125 kes dan 759 kematian manakala Jawa Tengah merekodkan 564 kematian dan Sulawesi Selatan 302 kematian.

SINGAPURA mengesahkan 481 lagi kes Covid-19 dengan majoriti masih pekerja asing yang tinggal di asrama. Ini menjadikan jumlah kumulatif kes jangkitan  meningkat kepada  50,369 kes.

Dalam data ringkas setakat 12 tengah hari yang dikeluarkan hari ini, Kementerian Kesihatan (MOH) berkata, setakat ini ada lima kes di dalam komuniti, semuanya pemegang pas kerja.

MOH juga berkata terdapat lima kes import, yang diserahkan Notis Duduk Dirumah sebaik sahaja tiba di Singapura. 

Setakat tengah hari semalam, 45,352 atau kira-kira 91 peratus daripada jumlah keseluruhan kes sudah pulih dan 148 kes masih lagi di hospital, kebanyakan stabil atau beransur pulih dan tiada yang ditempatkan dalam unit rawatan rapi.

THAILAND memasuki hari ke-60 tanpa jangkitan tempatan tetapi mencatatkan 10 kes baharu Covid-19,  termasuk enam anggota tenteranya yang pulang dari menjalani latihan ketenteraan di Hawaii, Amerika Syarikat dalam tempoh 24 jam lepas.

Jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA) Thaweesilp Wissanuyothin berkata, dengan perkembangan ini, jumlah keseluruhan kes adalah 3,279.

Semua kes baharu melibatkan warga Thai yang sedang menjalani kuarantin wajib di kemudahan kerajaan selepas kembali dari luar negara.

Empat lagi kes adalah mereka yang kembali dari Sudan, Pakistan, Jerman dan Belanda.

Sejumlah 342 mereka yang kembali dari luar negara dan dikuarantin 14 hari di kemudahan disediakan kerajaan didapati positif dalam saringan sejak 3 April.

Setakat ini, sejumlah 3,279 kes dengan 58 kematian dilaporkan dan sejumlah 3,107 pesakit pulih sementara 114 masih berada di wad.

FILIPINA setakat pukul 4 petang 26 Julai 2020, merekodkan 2,110 kes, yang disahkan berdasarkan jumlah ujian yang dilakukan oleh 66 daripada 90 makmal.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan kes meningkat kepada 80,448.

Jabatan Kesihatan (DOH) juga memberitahu sebanyak 39 kematian dilaporkan menjadikan 1,932 kes.

Sebanyak 382 pesakit sembuh yang membawa jumlah pulih 26,110.

Related posts

Leave a Comment