LUPAKAN seketika soal politik. Usah dilayan pelbagai cerita politik ketika negara sedang berhadapan dengan musibah. Kuarantin dahulu politik di pejabat politik masing-masing. Sekarang bukan masa yang sesuai untuk berpolitik. Belajarlah menerima normal baharu walaupun dalam dunia politik.
Tidak boleh lagi berpolitik sepanjang masa berkaitan kedudukan dan jawatan.
Amat malang sekali dalam suasana ‘perang’ dengan musuh yang tidak kelihatan ini ada pula pihak yang seolah-olah mahu mewujudkan perang dalam kalangan orang politik yang semuanya berkaitan kedudukan, jawatan dan kuasa.
Ada juga yang mahu mengatur siapa yang lebih berkuasa dan berpengaruh. Cukuplah. Hentikanlah tabiat berpolitik sepanjang masa tanpa mengira situasi. Sebelum pilihan raya berpolitik, semasa pilihan raya lagi kuat berpolitik, selepas pilihan raya pun masih mahu berpolitik. Sampai bila nak berpolitik? Apabila terjebak dalam suasana seperti sekarang, masih nak berpolitik.
Tunggulah dulu. Biar wabak ini pergi dahulu. Utamakan keselamatan nyawa dan rakyat. Sementara menanti vaksin, sekali lagi eloklah politik dikuarantin, orang politik duduk diam-diam, tidak perlu ke sana ke sini ke sana ke sini membawa pelbagai persepsi, formula, ramalan dan sebagainya yang berkaitan dengan politik dan kuasa. Hentikan rantaian politik yang tidak menguntungkan negara ketika perang melawan Covid-19 ini.
Memang tepatlah langkah Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengambil pendekatan untuk tidak memberi tumpuan kepada soal politik kerana beliau beranggapan rakyat sudah muak dengan pertelingkahan yang tidak berkesudahan.
Ya, memang benar ada orang politik atau parti politik yang gusar dan resah gelisah dengan pelantikannya sebagai ketua kerajaan mewakili Perikatan Nasional (PN) dalam keadaan yang agak luar biasa. Ada yang seperti cacing kepanasan apabila kerajaan baharu mengisi kerajaan yang ditinggalkan Pakatan Harapan.
Tetapi hari ini, rakyat lebih gusar mengenai usaha kerajaan membendung penularan wabak Covid-19 di negara ini. Rakyat gusar mengenai kehidupan mereka selepas ini.
Sebaliknya ada pula golongan politik yang gusar mengenai parti-parti yang membentuk kerajaan PN ini seolah-olah tidak mahu faham apa yang berlaku dalam pembentukan kerajaan baharu ini.
Masih ada yang tidak dapat menerima realiti sehingga wujud istilah kerajaan pintu belakang, ikut tingkap, bumbung dan sebagainya. Seperti orang meroyan ke sana ke sini bercakap mengenai politik, kerajaan dahulu dan kerajaan sekarang. Mujurlah ada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Terhenti seketika aktiviti mereka.
Tetapi ada yang tidak boleh duduk diam. Di pentas politik tidak boleh beraksi, guna kaedah lain pula untuk cuba ‘menebuk’ kapal PN yang sedang belayar ini.
Kata Muhyiddin : ” Soal pokok sekarang ini rakyat tak nak dengar dah. Saya dah tahu (mereka) muak cerita-cerita tu. Yang mereka nak tahu apa kerajaan buat. Apa Perdana Menteri atau Jemaah Menteri dan juga pentadbira kerajaan yang ada hari ini laksanakan untuk menangani isu penting yang sedang mereka hadapi.
“Sebab itu saya tidak pun dalam mana-mana kenyataan sebelum ini, hatta sekarang ini nak mengulas soal-soal yang berkaitan dengan hal politik. Nanti orang kata soal Covid tak selesai, dia cerita soal parti dia, dia cerita soal gabungan dia, kerajaan dia, keabsahan dia…yang ini rakyat tidak berminat,”.
Mujurlah bukan setakat Malaysia sahaja yang sedang berperang dengan Covid-19 tetapi seluruh dunia. Jika tidak, kerajaan yang ada akan terus berhadapan dengan serangan politik tidak sihat ini.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) juga sebelum ini menggesa supaya setiap negara bersatu melawan Covid-19 dan tidak bermain politik ketika berhadapan wabak ini. Semua pihak diminta bersatu dan sekarang bukannya masa yang sesuai untuk berpolitik.
Bersabarlah orang politik, lebih-lebih lagi pada bulan Ramadan ini.
Ketika kerajaan yang ada sedang berusaha menangani wabak ini, janganlah pula ada pihak yang sememangnya tidak boleh hidup tanpa bercakap politik membuat pelbagai tilikan, ramalan dan pelbagai lagi mengenai parti politik di dalam kerajaan sekarang. Tidak ada faedahnya kecuali hanya mahu melihat perpecahan sama ada di pihak kerajaan PN atau Muafakat Nasional (MN).
Tidak perlu dalam situasi ini muncul pelbagai teori oleh pihak atau parti di luar kerajaan kerana setiap parti politik tahu apa yang harus mereka lakukan apabila tiba masanya. Setiap parti politik ada pendirian. Jangan sengaja memaksa parti politik lain bersuara setelah mereka `berdiam diri’ , melakukan gencatan politik atau kuarantin isu politik ketika berperang dengan Covid-19.
Diamlah seketika daripada merosakkan sesuatu yang sedang berjalan dengan baik untuk menghadapi peperangan dengan Covid-19 ini. Eloklah setiap parti politik menjaga ‘rumah tangga’ masing-masing. Jangan cuba menangguk di air keruh. Tidak perlu mengajar itik berenang. Tidak perlu mengatur rumah tangga orang lain.
Elok jaga tepi kain sendiri kerana kain sendiri belum tentu bersih.
Simpan dahulu pelbagai teori yang matlamatnya mahu mewujudkan virus baharu bagi membunuh atau menghancurkan perpaduan parti politik tertentu. Alangkah baiknya jika ketika ini parti politik bercakap bagaimana mahu membina semula kehidupan yang sudah dirosakkan oleh virus Covid-19 ini. Cari vaksin penawar.
Tidak ada maknanya teori politik yang pelbagai tetapi rakyat mati diserang wabak, rakyat hilang kerja kerana wabak, ekonomi runtuh kerana wabak malahan politik juga akan runtuh kerana wabak ini.
Justeru berilah sokongan sebaiknya kepada kerajaan untuk menangani wabak ini. Kita sepatutnya berterima kasih dan simpati terhadap kerajaan baharu ini yang tidak ada masa untuk berpolitik sebaliknya terpaksa bekerja secara percuma, dua bulan tanpa gaji walaupun belum cukup sebulan mereka masuk kerja.