300,000 mohon rentas negeri

HANYA dalam tempoh 12 jam permohonan dibuka melalui aplikasi Gerak Malaysia, 300,000 memohon permit pergerakan rentas negeri, di mana 100,00 mahu melakukan perjalanan dari kampung untuk pulang ke rumah masing-masing.

Berdasarkan angka itu, ramai juga yang terkandas di kampung halaman masing-masing dan tidak sempat pulang berikutan pengisytiharan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lalu.

Angka ini dijangka meningkat berkali ganda menjelang tarikh akhir 1 Mei ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Huzir Mohamed berkata, amat perlu bagi polis memastikan bahawa setiap permohonan yang diterima adalah untuk tujuan yang dibenarkan sahaja.

Langkah itu bagi memastikan perancangan pergerakan antara negeri dapat berjalan dengan lancar dan tidak menyulitkan pengguna-pengguna lebuh raya atau jalan raya yang terbabit.

Dalam tempoh yang ditetapkan, pihak polis akan memantau dan menilai trend permohonan yang diterima melalui aplikasi tersebut.

Hasil pemantauan dan penilaian akan dimaklumkan kepada kerajaan agar tarikh pergerakan seperti mana yang diumumkan sebelum ini dapat dikaji semula dan diselaraskan mengikut jumlah permohonan yang diterima.

Huzir juga menasihatkan orang ramai agar dapat memberi kerjasama dengan hanya memohon untuk mendapatkan permit pergerakan atas sebab sahih seperti yang ditetapkan. 

Beliau berkata kerjasama semua pihak adalah penting bagi memastikan sistem apliksasi tersebut dapat dimanfaatkan oleh mereka yang perlu untuk melakukan pergerakan antara negeri.

Related posts

Leave a Comment