SETELAH mendapat pelbagai reaksi, kebanyakannya bimbang dan tidak setuju, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mencadangkan beberapa sektor yang dibenarkan beroperasi semula seperti kedai gunting rambut, ditangguhkan sementara waktu. Cadangan KKM itu sebenarnya lebih melegakan masyarakat.
Berdasarkan reaksi pelbagai pihak, termasuk persatuan pengusaha penggunting rambut, nyata mereka bimbang berlaku penularan wabak Covid-19 di kedai gunting rambut. Lebih berbahaya wujudnya kluster baharu.
Bagaimanapun di sebalik pengumuman mengenai operasi kedai gunting rambut itu, apa yang penting secara tidak langsung menunjukkan penerimaan masyarakat mengenai langkah menghentikan rantaian wabak Covid-19. Rakyat mula memahami apa itu penjarakan sosial. Ini satu perkembangan yang baik.
Mereka sudah ambil tahu langkah-langkah untuk menjaga diri dan orang lain daripada jangkitan wabak. Seperti kata Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin baru-baru ini ‘kita jaga kita’.
“Kita ibarat sebuah keluarga besar. Kita saling bantu membantu ketika zaman susah. Kita jaga keluarga kita. Kita jaga jiran kita. Kita jaga masyarakat kita. Baik kita di kampung, di kawasan perumahan, di kondominium, di rumah flat. Kita jaga kita. Inilah nilai sebenar persaudaraan rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa,” katanya.
Sejak malam semalam, banyak pandangan dan pengalaman dikongsi melalui media sosial yang semuanya bercakap mengenai kesan buruk apabila kedai gunting rambut beroperasi ketika fasa ketiga tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini. Lebih ramai yang sanggup berambut panjang atau gunting sendiri rambut mereka.
Pengguna media sosial turut berkongsi berita mengenai seorang tukang gunting rambut di Amerika Syarikat yang mati kerana dijangkiti Covid-19. Sementara di Fukuoka, Jepun dikatakan terdapat laporan ada kes kluster jangkitan Covid-19 di wilayah itu yang disyaki berpunca dari sebuah salon dandanan rambut.
Banyak lagi suara kebimbangan dilontarkan walaupun keputusan itu dibuat oleh kerajaan. Tidak pasti rasional keputusan itu dan apakah prosedur yang selamat jika operasi itu diteruskan. Selagi tidak ada garis panduan selamat, maka ramai yang tidak yakin dengan cadangan kerajaan itu.
Persatuan yang mewakili pengusaha pun tidak sanggup menanggung risiko walaupun mereka berpeluang mendapatkan semula pendapatan yang hilang selama lebih tiga minggu. Bagi mereka nyawa perlu diutamakan. Keselamatan dan kesihatan semua pihak harus didahulukan.
Di Pulau Pinang kerajaan negeri tidak membenarkan premis gunting rambut dibuka atau beroperasi sepanjang tempoh PKP.Mesyuarat Jawatankuasa Khas Keselamatan Negeri (JKKN) Pulau Pinang yang dipengerusikan Ketua Menteri, Chow Kon Yeow memandang serius berhubung peratusan lebih daripada 95 peratus maklum balas awam yang menyatakan kebimbangan mereka.
“Malah mesyuarat turut mengambil kira persoalan seperti faktor jarakan sosial dan kemungkinan menyebabkan wujudnya kluster baharu,” katanya
Kerajaan Negeri Sembilan pula mahu KKM menetapkan prosedur operasi standard (SOP) bagi perkhidmatan kedai cermin mata dan gunting rambut asas. Ini disebabkan, kedua-dua perkhidmatan itu dilihat berurus niaga secara terus dengan masyarakat tanpa ada jarakan sosial yang digariskan KKM bagi mengekang penularan wabak Covid-19.
Menteri Besar, Aminuddin Harun berkata : “Kedai gunting rambut perlu ada SOP yang lebih ketat daripada kementerian sebab ini kontak langsung yang paling rapat tanpa ada jarakan sosial,” .
Public Health Malaysia pula melalui laman Facebooknya menyatakan bahawa risiko penyebaran Covid-19 di kedai gunting rambut agak tinggi kerana jarak rapat antara pelanggan dan tukang gunting rambut, tempoh masa yang lama di dalam premis, sekitar 15 minit, selain ruang kedai yang sempit dengan pengudaraan yang terhad.
Jika beroperasi juga, Public Health Malaysia menyarankan agar pemilik premis memastikan mereka tidak mempunyai gejala demam atau batuk selesema; melakukan disinfeksi harian premis; menyediakan ruang pengudaraan yang baik; dan mengawal kemasukan pelanggan serta membersihkan rambut yang telah digunting.
Pakar virologi, Prof Dr Sazaly Abu Bakar, pula berkata keputusan kerajaan meletakkan perkhidmatan gunting rambut sebagai sektor penting yang boleh beroperasi semasa PKP adalah langkah yang tidak difikirkan kesannya kerana premis itu bakal menjadi lokasi paling berbahaya.
Covid-19 boleh berlegar sekurang-kurangnya tiga jam di dalam premis yang sempit dan kekurangan pengaliran udara seperti kedai gunting rambut. Walaupun memakai penutup hidung dan mulut, tukang gunting dan pelanggan berisiko dijangkiti sekiranya seorang pelanggan yang dijangkiti virus itu batuk di dalam premis.
Sekiranya tukang gunting memakai penutup hidung dan mulut secara sempurna atau mengenakan pakaian perlindungan diri (PPE) sekalipun, dia berisiko dijangkiti selepas menanggalkan PPE itu walau seketika, seterusnya menjangkiti pelanggan lain.
Begitulah kesedaran pengguna yang nampaknya ‘lebih tahu’ risiko. Apa yang penting sama ada keputusan kerajaan itu tersilap atau ada asas lain, perkara utama, masyarakat sudah mula memahami makna penjarakan sosial serta langkahlangkahnyang perlu diambil bagi mematikan rantaian virus ini.
Hakikatnya dalam ‘kesilapan’ ada juga kebaikan. Tidak ada sebab jika rakyat sudah bimbang, kerajaan mahu