153 kes baharu 3 kematian

PUTRAJAYA: Tiga kematian dan 153 kes positif baharu Covid-19 direkodkan di negara ini setakat 12 tengah hari ini (12 April) menjadikan jumlah kumulatif kes positif sebanyak 4,683 kes manakala kematian 76.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata sebanyak 131 kes telah pulih dan dibenarkan discaj, menjadikan jumlah keseluruhan kes pulih adalah 2,108 atau 45 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Oleh itu, setelah kes kumulatif ditolak dengan kes discaj dan kematian, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 2,499 kes.

“Sehingga kini, seramai 66 kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU). Daripada jumlah tersebut, 37 kes memerlukan bantuan pernafasan,” kata dalam sidang media di sini hari ini.

Sementara itu, tiga kematian melibatkan warga negara Malaysia disahkan meninggal dunia pada Sabtu.

Kes kematian ke-74 (kes ke-4531) merupakan lelaki berumur 54 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis, darah tinggi dan buah pinggang.

Beliau dirawat di Hospital Tuanku Jaafar Seramban pada 11 April 2020 dan disahkan meninggal dunia pada 12 April 2020 pukul 1.50 pagi.

Kes kematian ke-75 (kes ke-3469) juga lelaki  berumur 90 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis, darah tinggi dan penyakit jantung.

Beliau telah dirawat di Hospital Taiping Perak pada 1 April 2020 dan disahkan meninggal dunia pada 12 April 2020 pukul 5.23 pagi.

Kes kematian ke-76 (kes ke-4314) merupakan perempuan berumur 47 tahun dan mempunyai latar belakang darah tinggi.

Beliau telah dirawat di Hospital Umum Sarawak pada 8 April 2020 dan disahkan meninggal dunia pada 12 April 2020 pukul 7.36 pagi pagi.

Related posts

Leave a Comment